My Add

Wednesday 7 December 2011

Saran penduduk buang sampah secara sistematik elak banjir

MELAKA, Rbu, 07 Disember, 2011:
PERBADANAN Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Melaka meminta penduduk di setiap kawasan agar mengamalkan cara pembuangan sampah sarap yang betul dan teratur untuk mengelakkan berlakunya banjir pada musim hujan. 

Ketua Penolong Pengarah PPSPPA, Zainuddin Abdul Samad, berkata penduduk perlu membuang sampah sarap ke dalam tong yang disediakan oleh pihak berkuasa dan bukannya di kaki tong sampah sehingga berlakunya lambakan sampah di kawasan tersebut.

Beliau berkata, 49 buah kawasan dikenal pasti kerap dinaiki air akibat masalah sampah sarap dan anggota PPSPPA sering melakukan pemantauan serta pembersihan terutama pada musim hujan.

"Selain itu, saya ingin menasihatkan penduduk agar jangan membuang puntung rokok ke dalam tong sampah kerana perbuatan itu akan menyebabkan tong tersebut terbakar," katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Pembersihan Awam PPSPPA di Kampung Jawa di sini, hari ini. 

Zainuddin berkata, operasi tersebut adalah tanggungjawab sosial sebagai persediaan menghadapi banjir yang berpunca daripada saluran parit dan sungai tersumbat akibat pembuangan sampah sarap yang tidak sistematik. 

Beliau berkata, penduduk perlu berubah dan mengamalkan cara hidup yang lebih baik kerana tabiat membuang sampah sesuka hati akan mewujudkan persekitaran yang kotor dan tidak selesa kepada penduduk setempat serta memberi impak negatif kepada negeri. 

Operasi tersebut turut membabitkan Southern Waste Management (SWM) Environment Sdn Bhd dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment