My Add

Saturday 10 December 2011

Sokongan kepada BN dijangka bertambah

KOTA BHARU, SABTU, 10 Disember, 2011:
SEBAHAGIAN besar pengundi yang membuat undi protes kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2008 sudah kembali memberikan sokongan kepada parti itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah turut percaya, majoriti daripada mereka yang mengundi BN pada pilihan raya umum lalu akan meneruskan sokongan kepada parti kerajaan tersebut pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya kira majoriti akan meneruskan (sokongan kepada BN) dan mungkin bertambah lagi,” katanya semasa menyertai Wacana Perdana anjuran Urus setia Penerangan Kerajaan Negeri di Balai Islam Lundang di sini, malam semalam.

Selain beliau, wacana itu turut menampilkan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution; pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Samsul Adabi Mamat dan pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah.

Sementara itu, Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Sains dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Prof. Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff bertindak selaku moderator.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi menjelaskan, cabaran utama parti-parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti adalah untuk mendapatkan sokongan golongan profesional yang disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai kumpulan penentu.

“Cabaran utama ialah golongan profesional yang disebut oleh sesetengah pihak sebagai golongan kuasa ketiga dalam PRU akan datang, di situ letaknya penentu,” katanya.

Penerangan beliau mengenai usaha kerajaan untuk melakukan pelbagai transformasi dan penambahbaikan termasuk pindaan ke atas Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) turut mendapat sambutan baik di kalangan mereka yang hadir.

Sementara itu, Samsul Adabi turut melahirkan keyakinan bahawa BN akan terus membentuk kerajaan berikutan beberapa petunjuk menunjukkan sokongan golongan muda turut bersama parti tersebut.

Beliau mengambil contoh kejayaan negara di bawah BN menjadi antara negara Islam terunggul di dunia membabitkan pelbagai sektor, sehingga memberi keyakinan kepada banyak pihak terhadap keupayaan kerajaan sedia ada.

“Peranan kita memang dikenali sebagai sebuah negara Islam yang banyak membantu negara-negara Islam lain dan kita seharusnya berasa bangga,” katanya. - UM

No comments:

Post a Comment