My Add

Tuesday 13 December 2011

Soon Koh belum mahu 'kembali'

KUCHING, SELASA, 13 Disember, 2011:
BEKAS Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Wong Soon Koh yang memboikot Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) SUPP, bertegas tidak akan 'kembali' ke dalam parti selagi masalah di beberapa cawangan yang dikemukakan oleh kumpulannya tidak diberi perhatian.

Soon Koh yang percaya berlakunya penyelewengan dan kejanggalan dalam proses pemilihan di beberapa cawangan turut menegaskan tidak akan kembali meskipun digesa berbuat demikian oleh Jawatankuasa Pusat (CC) dan pemimpin kanan parti berkenaan.

"Proses pemilihan jawatan tertinggi dan kanan di beberapa cawangan jelas menunjukkan berlaku banyak penyelewengan dan kejanggalan.

"Perkara ini bercanggah dengan Perlembagaan dan saya bertegas tidak akan kembali selagi masalah ini tidak diselesaikan dengan jelas," katanya di sini, semalam.

Mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya SUPP kembali bersatu, Soon Koh memberitahu, kumpulannya masih bersama parti, bagaimanapun tidak bersetuju dengan penyelewengan dan kejanggalan yang didakwa berlaku di beberapa cawangan.

"Jangan salah anggap, kami cuma tidak mahu menghadiri TDC dan bukannya keluar daripada parti," ujarnya.

Pada Sabtu lalu, Soon Koh dan kumpulannya tidak menghadiri TDC termasuk proses pemilihan parti yang menyaksikan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dilantik sebagai Presiden baru semalam.

Kemelut yang berlaku dalam SUPP telah menarik perhatian Najib yang melahirkan harapan supaya pertelagahan dalaman itu dapat diselesaikan demi keutuhan parti.

No comments:

Post a Comment