My Add

Wednesday 7 December 2011

Teknologi intensif jana ekonomi

NAJIB Tun Razak mendengar taklimat daripada Naib Presiden Eksekutif Antarabangsa Dassault Aviation, Eric Trappier (dua, kanan) ketika melawat LIMA 2011 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, Kedah, semalam. Turut kelihatan Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kiri). - BERNAMA

LANGKAWI, SELASA, 07 Disember, 2011: Sektor teknologi intensif seperti pembinaan kapal serta pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, tahun lalu sahaja industri pembinaan dan pembaikan kapal menjana lebih RM8.05 bilion manakala MRO dan pembuatan aeroangkasa menyumbang kira-kira RM6 bilion.

"Sektor ini turut menyediakan pekerjaan kepada lebih 44,000 orang kebanyakannya golongan profesional dan berkemahiran tinggi," katanya ketika berucap merasmikan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011 di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pameran LIMA 2011 yang berlangsung dari 6 hingga 10 Disember ini adalah yang terbesar sejak pameran dwi tahunan itu diperkenalkan pada 1991.

Sebanyak 403 syarikat dari 35 negara menyertai pameran kali ini yang menyaksikan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding edisi lalu.

Kehadiran pesawat dari negara lain meningkat lebih dua kali ganda berbanding penganjuran dua tahun lalu iaitu daripada 11 kepada 26 buah manakala lawatan kapal perang tentera laut luar negara bertambah daripada 10 kepada 12 buah.

Najib berkata, Malaysia menjadi pilihan beberapa syarikat peneraju dalam industri penerbangan dan perkapalan untuk menempatkan pejabat operasi masing-masing.

Beliau memberitahu, antaranya syarikat penerbangan tambang murah terbaik di rantau ini dan pengendali ulung terbesar pesawat Airbus A320 di dunia iaitu AirAsia serta konglomerat perkapalan ketiga terbesar dunia, Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC).

"Kita memerlukan syarikat-syarikat seperti ini untuk membantu industri tempatan mengembangkan perkongsian pasaran dalam MRO dan pembuatan serta pembaikan kapal.

"Dalam sektor perkapalan, sebagai contoh syarikat seperti Petronas boleh memainkan peranan penting untuk memacu perkembangan ini dengan menggalakkan penyedia perkhidmatan seperti MISC untuk menggunakan kapal buatan tempatan," ujarnya. UM

No comments:

Post a Comment