My Add

Friday, 9 December 2011

TNB, PLN wujud perkongsian strategik

MEDAN, JUMAAT, 09 Disember, 2011: 
PEMBINAAN projek kabel elektrik bernilai 1.2 bilion ringgit berhampiran Telok Gong, Alor Gajah mampu mewujudkan perkongsian strategik penggunaan tenaga antara Melaka dan Sumatera. 

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata projek berkenaan adalah kerjasama antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan Perusahaan Listrik Nasional (PLN).

Beliau berkata, projek yang sudah dipersetujui antara kedua-dua pihak tahun lalu itu akan dilaksanakan menerusi dua fasa iaitu fasa pertama dijadual bermula pada 2014, dan dijangka siap 2017.

Katanya, bagi fasa pertama, projek berkenaan yang juga satu daripada program pelan induk kedua-dua negara terbabit, bakal menjana bekalan elektrik sehingga 300 megawatt dan 600 megawatt untuk fasa kedua. 

"Projek ini salah satu program pelan induk antara Melaka dan Sumatera, dan melalui kerjasama ini, kita tidak perlu wujudkan banyak stesen janakuasa elektrik kerana kedua-dua wilayah boleh berkongsi kuasa elektrik," katanya selepas Forum Gabenor dan Ketua Menteri Ke-8 sempena Persidangan Indonesia-Malaysia-Thailand Segi Tiga Pertumbuhan (IMT-GT) di Medan, Indonesia. 

Mohd Ali berkata, projek berkenaan akan membolehkan kedua-dua kawasan berkongsi dan menerima tenaga elektrik tanpa perlu meningkatkan bekalan kuasa elektrik, terutama ketika tempoh beban puncak setiap hari. 

Beliau berkata, menerusi projek itu juga, tenaga elektrik di Teluk Gong yang tidak digunakan pada waktu malam akan dibekalkan ke Sumatera manakala pada siangnya, giliran Sumatera pula membekal elektrik untuk kegunaan di Semenanjung melalui Telok Gong. 

"Kerjasama itu dilihat dapat mewujudkan keadaan menang-menang terhadap dua wilayah ini, sekaligus membantu pertumbuhan ekonomi di Semenanjung Pantai Barat dan Sumatera, termasuk sepanjang pesisiran Selat Melaka," katanya. 

Katanya, selain pembinaan kabel elektrik, satu lagi projek utama yang bakal dibangunkan membabitkan Indonesia ialah pembinaan terminal perkhidmatan feri dari Melaka ke Dumai. 

“Pelaksanaan projek terminal perkhidmatan itu yang lebih dikenali "RoRo" (Roll on-Roll off) di Tanjung Bruas, di tukar ke Klebang. 

“Terminal perkhidmatan di Klebang akan mengambil sedikit masa disebabkan pada masa ini kerja penambakan pasir laut di kawasan itu belum selesai,” katanya. 

Forum IMT-GT itu dihadiri kira-kira 500 peserta dari tiga buah negara berkenaan dan dirasmikan Gabenor Sumatera Utara H Gatot Pujonugroho. 

Hadir sama, Ketua Majlis Usahasama Perniagaan Thailand, Bonchuay Chansiliwathana Thamrong. 

IMTGT merangkumi lapan negeri di Malaysia, 14 wilayah di Thailand dan 10 di Indonesia dengan gabungan penduduk seramai 80.5 juta orang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment