My Add

Tuesday 13 December 2011

Tuanku Abdul Halim lafaz sumpah Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR, SELASA, 13 Disember, 2011:
SULTAN Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu”azam Shah hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.

Ini merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Kali pertama ialah dari 21 Januari 1970 hingga 20 September 1975 semasa berusia 43 tahun.

Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 (Khas) di Istana Negara pada 14 Okt lepas untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa hari ini, bagi menggantikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 semalam.

Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak negara Merdeka pada 31 Ogos, 1957.

Istiadat hari ini merupakan istiadat seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar, yang mula beroperasi pada 15 November lepas. 

No comments:

Post a Comment