My Add

Thursday 22 December 2011

UMNO sah bertanding di DUN Pasir Panjang

IPOH, KHAMIS, 22 Disember, 2011: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir semalam mengesahkan bahawa UMNO akan bertukar kerusi dengan MIC untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang.

Menurut beliau, MIC sudah bersetuju memberi laluan kepada UMNO untuk meletakkan calon di kerusi berkenaan yang kini disandang Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata, perkara itu juga sudah dipersetujui pucuk pimpinan BN.

‘‘Kita sudah berbincang dan kita putuskan mengenai (pertukaran) kerusi di Pasir Panjang. Kita buat keputusan kerusi itu akan diberi kepada UMNO,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini.

Beliau diminta mengulas ‘cakap-cakap’ politik termasuk di blog-blog mengenai kemungkinan berlaku pertukaran kerusi antara UMNO dan MIC di DUN Pasir Panjang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Dalam pilihan raya umum lalu, Mohammad Nizar memenangi kerusi tersebut selepas memperoleh 11,994 undi menewaskan calon MIC, Vasan Sinnadurai yang mendapat 7,520 undi.

Menjawab kerusi UMNO di kawasan DUN mana yang akan diserahkan kepada MIC berikutan pertukaran itu, Zambry berkata, perkara tersebut akan dimaklumkan apabila tiba masanya kelak.

Ditanya mengenai keyakinan BN memenangi kerusi tersebut dengan meletakkan calon UMNO bagi menewaskan Mohammad Nizar, beliau berkata: ‘‘Kita pun tidak tahu kalau beliau akan kekal bertanding di situ, siapa pun calonnya, kita ada keyakinan.”

Sementara itu, Zambry berkata, BN mampu untuk merampas semula kerusi-kerusi yang jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu berdasarkan sentimen positif yang ditunjukkan oleh rakyat.

Dalam konteks itu, tegasnya, BN Perak tidak mahu terjebak dalam propaganda politik yang menjurus kepada hasil-hasil kajian politik mengenai ramalan keputusan pilihan raya umum akan datang. - UM

No comments:

Post a Comment