My Add

Tuesday, 29 May 2012

60,000 nelayan dilindungi insurans bermula bulan depan

PEKAN, SELASA, 29 Mei, 2012: Bermula bulan depan, seramai 60,000 nelayan di seluruh negara yang kini menerima elaun sara hidup akan menikmati perlindungan insurans di bawah Skim Insurans Nelayan. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata menerusi skim itu, nelayan berkenaan akan mendapat pelbagai manfaat termasuk pampasan sekiranya berlaku kecederaan atau kematian sama ada di laut atau di darat.

"Bagi perlindungan insurans ini, sebanyak RM100 setahun akan dipotong daripada elaun sara hidup mereka atau dalam RM8 hingga RM9 sebulan.

"Usaha ini adalah untuk memberi perlindungan kepada mereka di lautan dan daratan yang mana pampasan RM50,000 sekiranya berlaku kematian di daratan manakala RM100,000 jika kematian di laut," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program interaksi dan hari bertemu pelanggan warga nelayan Nenasi di sini, hari ini. 

Mohd Johari berkata, kementerian juga bercadang mewajibkan nelayan yang tidak menerima elaun sara hidup untuk mengambil skim insurans itu memandangkan pekerjaan mereka sangat mencabar dan satu kerugian besar buat mereka serta anggota keluarga sekiranya kejadian tidak diingini menimpa mereka. 

"Kita maklum bahawa banyak terjadinya kemalangan yang membabitkan kecederaan dan kematian di laut dan darat terhadap nelayan ini, jadi kita mahu mewajibkan setiap mereka mengambil insurans ini," katanya. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, golongan penanam padi seharusnya memberi fokus bagaimana mahu meningkatkan hasil dan kualiti padi supaya dapat dijual pada harga lebih baik dan bukannya sentiasa mengharapkan kerajaan menaikkan subsidi padi. 

Katanya, kerajaan tidak boleh memberikan subsidi setiap masa kerana subsidi yang diberikan kepada mereka selama ini sudah mencukupi. 

"Kita tidak boleh bagi subsidi setiap masa, sebaliknya petani ini mesti berusaha menghasilkan padi yang berkualiti dan cari jalan bagaimana mereka boleh menambahkan hasil pengeluaran," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment