My Add

Tuesday, 29 May 2012

Pengawal keselamatan dipenjara dua minggu kerana mencuri

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Mei, 2012: Seorang pengawal keselamatan dipenjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai barangan termasuk enam bungkus coklat dari sebuah pasar raya, empat hari lalu. 

Majistret Parvin Hameedah Natchair memerintahkan Binnie Armi, 25, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 25 Mei.

Bapa kepada dua orang anak itu didakwa mencuri enam bungkus coklat, cermin mata, sehelai jaket dan sepasang kasut yang kesemuanya bernilai RM143.40 di pasar raya di Jalan Silang di sini pada 11.30 pagi, 25 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Siew Ping manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Di mahkamah lain, seorang penganggur dipenjara sehari dan didenda RM100 kerana mencuri syampu dan sabun mandi bernilai RM20 di sebuah kedai runcit. 

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin memerintahkan tertuduh, Nur Hasan Md Isa, 24, dipenjara 10 hari sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan. 

Nur Hasan didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Changkat Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada 25 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda. 
Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya S Malini Anne manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment