KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Mei, 2012: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 dan 30 Ogos untuk perbicaraan kes saman fitnah RM10 juta yang difailkan oleh Pengerusi DAP Karpal Singh terhadap Utusan Melayu (M) Bhd empat tahun lalu.
Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menetapkan tarikh itu dengan dihadiri peguam Sangeet Kaur bagi pihak Karpal Singh dan peguam B Mohana Kumar yang mewakili Utusan.
Karpal Singh, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor memfailkan saman tersebut pada 19 September 2008 kerana mendakwa penerbit akhbar Utusan Malaysia menyiarkan artikel berunsur fitnah berhubung ucapannya pada Kongres Kebangsaan DAP ke-15 pada Ogos 2008 bertajuk 'DAP diingat jangan bakar perasaan Melayu' pada 25 Ogos tahun sama.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa, keseluruhan kandungan artikel itu adalah palsu dan berniat jahat kerana ia tidak diucapkan oleh beliau ketika membuat ucapan pembukaan pada kongres tersebut.
Sementara itu, defendan dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 3 November 2008 menegaskan perkataan yang didakwa fitnah itu adalah akibat satu salah faham atau kekeliruan.
Ia juga telah ditulis oleh wartawan dan diterbitkan oleh defendan tanpa sebarang niat jahat terhadap plaintif. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment