My Add

Tuesday, 29 May 2012

Koperasi di Kelantan: Ceburi bisnes lebih besar

KOTA BHARU, SELASA, 29 Mei, 2012: Koperasi di Kelantan digalak menceburi sektor perniagaan yang lebih besar yang mampu memberi pendapatan lumayan, kata Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Md Yusof Samsudin.

Beliau berkata, setakat ini, 617 koperasi termasuk 147 koperasi sekolah, yang dianggotai 330,000 orang di Kelantan berjaya mengumpul modal saham bernilai RM190 juta serta memiliki harta bernilai RM380 juta.

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan gerakan koperasi menyumbang 10 peratus pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 dan pada ketika ini, gerakan koperasi di seluruh negara hanya mampu menyumbang kira-kira satu peratus dalam pertumbuhan KDNK.

"Sasaran itu akan dapat dicapai dengan koperasi terus memainkan peranan lebih aktif dengan menceburi bidang perniagaan yang lebih mencabar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Transformasi dan Hala Tuju Sektor Koperasi Negeri Kelantan 2012 di sini hari ini.

Pada majlis itu, Md Yusof menyampaikan cek bantuan modal pusingan kepada tujuh koperasi di Kelantan melibatkan RM9.1 juta, termasuk Koperasi Sekolah Menengah Vokasional Tanah Merah yang menerima RM50,000. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment