My Add

Tuesday 29 May 2012

Penduduk bantah projek ancam persekitaran

GEORGETOWN,, SELASA, 29 Mei, 2012: Lebih 2,000 penduduk di Mount Pleasure, Batu Ferringhi, di sini membantah projek pembinaan 21 unit vila empat tingkat dan 80 unit banglo di lereng bukit di Jalan Low Yat yang terletak kurang 50 meter daripada kediaman mereka.

Jurucakap penduduk di kawasan itu, Dr P. Sundramoorthy berkata, penduduk di situ membantah kerana mendakwa pembangunan projek berkenaan mengancam persekitaran hutan terutama kawasan curam serta mengganggu ketenteraman kediaman di situ.

"Kawasan curam yang akan dijadikan projek mewah itu tidak mampu menahan pembangunan kerana proses ujian ke atas tanah yang dilakukan dua minggu lepas di kawasan itu menyebabkan batu besar terjatuh.

"Keadaan itu juga (batu besar jatuh) menyebabkan gegaran dalam tanah hingga mengancam kediaman penduduk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mendakwa projek itu berisiko tinggi terutama kepada penduduk sekitar dan kelulusan projek oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) itu berbahaya terutama jika berlaku tanah runtuh.

"Kami penduduk di kawasan ini minta MPPP atau kerajaan negeri memberi penjelasan sewajarnya mengenai kelulusan pembangunan lereng bukit yang jelas tidak memberi kebaikan,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment