My Add

Tuesday, 29 May 2012

Lahirkan insan seimbang - Raja Nazrin

*RAJA Nazrin Shah menyampaikan Anugerah Lencana Penuh Sekolah Berasrama Penuh kepada Syaza Nadiah Azmi dari Sekolah Tun Fatimah Johor Bahru pada Majlis Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh Ke-39 di Ipoh, semalam.

IPOH, ISNIN, 28 Mei, 2012: Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah mahu agenda penambahbaikan sistem pendidikan dilakukan secara lebih menyeluruh demi mencapai objektif falsafah pendidikan negara melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Raja Nazrin bertitah, program Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) yang sedang berlangsung menggalakkan penyertaan umum supaya agenda pendidikan dapat ditafsirkan secara lebih meluas dan tidak diletakkan sepenuhnya di bahu guru dan sekolah.

"Tanggungjawab pendidikan tidak akan lengkap dan sempurna jika sepenuh tanggungjawab diletakkan kepada sekolah dan guru.

"Ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pelbagai institusi lain sama-sama mempunyai tanggungjawab dan wajib melengkapkan tugas guru dan sekolah," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kali Ke-39 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Raja Nazrin bertitah, program DNPN yang sedang berlangsung bersifat inklusif dengan menggalakkan penyertaan umum sebagai langkah bijak selaras dengan semangat yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa era kerajaan mengetahui semua sudah berlalu.

Bagaimanapun, titah baginda, hasrat mahu melaksanakan penambahbaikan perlu ada kekuatan untuk mengakui wujudnya kelemahan, kesediaan mengakui kesilapan dan mengikis sifat meletakkan kesalahan kepada pihak lain.

"Perlu ada semangat bersedia memikul beban secara bersama, perlu ada keterbukaan minda untuk menerima teguran secara positif dan perlu ada fleksibiliti untuk melakukan penghijrahan paradigma," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah, sistem penilaian yang terlalu menitikberatkan pencapaian akademik bukan sahaja mengakibatkan budaya mendidik secara holistik semakin tercicir malah menuntut negara memperkemas dasar sosial sedia ada supaya lebih relevan.

Secara tidak disedari, titah baginda, masyarakat bertanggungjawab membentuk budaya 'tidak kisah' dan 'tidak endah' di kalangan anak-anak didik sehingga mereka tidak lagi sensitif terhadap persekitaran hidup.

Titah Raja Nazrin, budaya itu tidak boleh dibiarkan merebak menjadi satu budaya nasional berimej negatif, justeru memerlukan langkah pencegahan dan pembetulan supaya sekolah turut berperanan sebagai tapak menyemai budaya positif.

"Mungkin sistem pengauditan kebersihan sekolah perlu diperkenalkan, dikuatkuasakan dan dijadikan salah satu sasaran matlamat yang perlu dicapai di sekolah dalam hasrat mahu menyemai budaya positif di kalangan murid, agar negara tidak sekadar memiliki prasarana dunia kelas pertama tetapi turut memiliki budaya dunia kelas pertama," titah baginda. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment