KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 Mei, 2012: Peniaga dan penjaja kecil menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pengurangan kadar bayaran lesen perniagaan dan kompaun.
Golongan terlibat turut mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan yang sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan mereka.
Seorang penjual makanan, Ghazali Che Poh, 46, menyifatkan pengumuman itu sebagai hadiah kepada para peniaga kecil agar lebih berusaha bagi menambah pendapatan ekonomi negara.
''Pengurangan ini akan meringankan beban, selain memberi peluang kepada kami untuk memperluaskan perniagaan pada masa depan.
''Tiada kerajaan terbaik selain Barisan Nasional (BN) yang sudi mendengar keluhan rakyat demi kebaikan bersama,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Bandar Sri Permaisuri, di sini hari ini.
Perdana Menteri ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Warga Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia di Dataran Merdeka malam tadi mengumumkan berita gembira buat peniaga dan penjaja kecil apabila yuran pendaftaran kali pertama dan pembaharuan lesen cuma berjumlah RM50 bagi tempoh lima tahun.
Beliau turut mengumumkan pengurangan bayaran kompaun bagi kelewatan pendaftaran dan pembaharuan lesen sebanyak 50 peratus.
Seorang lagi peniaga, Fayyaz Yasir, 50, berkata, pengumuman itu menunjukkan sikap prihatin kerajaan BN dalam membela nasib peniaga kecil.
Selama ini, katanya, dia hanya membayar RM72 setahun tetapi kadar baru itu bakal meringankan beban yang dihadapinya selama ini.
''Saya tidak pernah dikenakan kompaun, bagaimanapun jumlah pengurangan kepada 50 peratus sedikit sebanyak memberi semangat kepada penjaja untuk menjaga kebersihan dan memperbaharui lesen apabila cukup masanya," katanya.
Dalam pada itu, bagi seorang penjaja nasi ayam, Md. Ladi Mohd. Tan, 58, berkata, pengumuman tersebut merupakan insentif terbaik sejak dia memulakan perniagaan pada 1978.
''Saya menyokong kepimpinan Perdana Menteri yang berjanji akan terus membela kami secara berterusan,'' katanya.
Bagi penjual minuman, Abdul Haliki Maidin, 36, tiada lafaz dapat diucapkan melainkan ucapan syukur kepada Allah kerana mengurniakan kerajaan yang sudi mendengar rintihan rakyat khususnya peniaga dan penjaja kecil.
Malah, katanya, pengurangan beban itu memberi ruang kepada golongan belia untuk menceburi perniagaan yang secara tidak langsung dapat mengurangkan statistik pengangguran dalam negara ini.
''Kadar RM50 untuk bayaran lesen bagi tempoh lima tahun merupakan bayaran terendah berbanding jumlah tertentu yang perlu dijelaskan pada setiap tahun,'' katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment