My Add

Tuesday 29 May 2012

Kawasan pantai timur Sabah berpotensi untuk dibangunkan

KUNAK, SELASA, 29 Mei, 2012: Kawasan pantai timur Sabah berpotensi untuk dibangunkan terutama dalam bidang pelancongan dan perindustrian, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata, kawasan itu merupakan tempat paling strategik sesuai dengan keindahan alam semula jadi dan hidupan laut untuk dikomersilkan sekaligus memberi sumbangan ekonomi kepada masyarakat setempat. 

"Kestabilan politik dan keadaan aman damai di negeri ini menarik perhatian pelabur asing termasuklah syarikat gergasi, Fortune Darden dari Amerika Syarikat yang turut melabur kira-kira RM2 bilion untuk menternak udang Kara atau Lobster di pantai timur Sabah," katanya. 

Musa yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata demikian ketika merasmikan Program Jerayawara Yayasan Sabah bersama rakyat peringkat Zon Pantai Timur Selatan di Kampung Lormalong Kunak yang dihadiri lebih 5,000 orang, di sini hari ini.

Beliau berkata, syarikat Darden yang merupakan pengendali rangkaian restoran makanan laut terkemuka Amerika, Red Lobster dan The Capital Grille mengenalpasti Sabah sebagai satu kawasan yang sesuai untuk pembiakan dan penternakan udang karang secara besar-besaran berdasarkan kaedah penternakan kontrak.

Terdahulu, Pengarah Eksekutif Innorprise Corporation Sdn Bhd. yang juga Pengarah Yayasan Sabah, Datu Khalil Jamalul berkata, program itu diadakan bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai program dan projek pembangunan yang dijalankan kerajaan di kawasan Kunak, Lahad Datu, Semporna dan Tawau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment