*RAIS (kiri) bersama Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Fuad Hassan (kanan) beramah mesra dengan penerima rumah bantuan program Prihatin 1Malaysia di Ladang Kam Seng, Batu 8, Gombak, semalam.
KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 Mei, 2012: Masyarakat seharusnya menilai keberkesanan kepimpinan sesebuah kerajaan berdasarkan pembangunan dibawa oleh kerajaan tersebut berbanding hanya berpandukan debat dan perang mulut semata-mata.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, debat sememangnya merupakan medan untuk individu menonjolkan kebolehan mereka tetapi ia tidak bermakna jika tidak disandarkan dengan fakta dan pencapaian.
Menurutnya, berbanding daripada hanya berdebat dan berperang mulut, rakyat pastinya mahu sebuah kerajaan yang dapat menjamin kehidupan masa hadapan mereka dan bukannya sebuah kerajaan yang sekadar berjanji tetapi tidak pula menepatinya.
"Kerajaan yang akan dipilih oleh rakyat pastinya sebuah kerajaan yang mampu mempertingkatkan taraf hidup masyarakat setempat dan bekerja dengan ikhlas demi rakyat.
"Buat masa ini, debat adalah suatu mainan politik yang mungkin disalah tafsir, jadi biarlah rakyat menilai kerajaan melalui pencapaian dan kemajuan yang berjaya mereka hasilkan," katanya selepas merasmikan majlis Sentuhan Mengubah Kehidupan di Ladang Kam Seng, Gombak dekat sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan penganjuran debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Cadangan tersebut timbul selepas debat antara Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang diadakan baru-baru ini.
Dalam majlis yang sama, Rais turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah di bawah program Prihatin 1Malaysia kepada enam keluarga yang kehilangan rumah akibat kebakaran pada 19 November tahun lalu.
Menurut beliau, janji yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan sekadar janji kosong apabila hari ini terbukti pihak yang kehilangan rumah diberi rumah yang lengkap dan serba baru.
"Kerajaan BN bukan seperti kerajaan pembangkang yang hanya tahu menabur janji tetapi akhirnya mengecewakan harapan dan penantian pihak berkenaan.
"Dengan sifat kasih dan sayang, kita mendengar dan cuba membantu pihak yang memerlukan," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment