My Add

Tuesday, 29 May 2012

Dr Chua Soi Lek, Lim Guan Eng berdebat lagi 8 Julai ini

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Mei, 2012: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng akan bersemuka untuk satu lagi perdebatan anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) pada 8 Julai ini. 

Naib Presiden Kanan, ketua pegawai strategi dan program ASLI, Ng Yeen Seen, berkata debat itu, yang dinamakan sebagai Debat Lim-Chua 2.0, bertajuk "DAP & MCA: Dasar Siapa Yang Lebih Bermanfaat Kepada Masyarakat" meliputi dasar dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, kemakmuran ekonomi, khidmat komuniti, perpaduan negara, kebajikan masyarakat dan pembasmian kemiskinan.

"Kami akan mengadakan sidang akhbar esok pada jam 2 petang di pejabat ASLI untuk mengumumkan butiran debat ini," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, pegawai Dr Chua, Giam Say Khoon, berkata Dr Chua mengesahkan beliau akan mengambil bahagian dalam debat pada 8 Julai itu seperti yang dicadangkan ASLI. 

Setiausaha akhbar Lim, Cheong Yin Fan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, berkata ketua menteri Pulau Pinang itu menerima jemputan ASLI untuk berdebat pada 8 Julai. 

Perdebatan pertama antara kedua-dua pemimpin politik itu diadakan pada 18 Februari dalam bahasa Mandarin dengan tajuk "Adakah sistem dua parti menjadi sistem dua bangsa". 

Ia diadakan di Hotel Berjaya Times Square dan dipancar secara langsung melalui Astro AEC dan diterjemah dalam Bahasa Melayu di Astro Awani. 
Berikutan debat itu, kedua-dua mereka bersetuju untuk mengadakan satu lagi perbahasan sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment