My Add

Tuesday, 29 May 2012

Tol SKVE Seksyen 2 percuma sempena pembukaan

BANTING, SELASA, 29 Mei, 2012: Pengguna lebuh raya Lembah Klang Selatan (SKVE) Seksyen 2, akan menikmati tol percuma selama sebulan sehingga 29 Jun ini sempena pembukaan rasmi laluan itu hari ini, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor. 

"Laluan 12.9 km menghubungkan persimpangan SKVE Saujana Putra dan persimpangan Teluk Panglima Garang itu secara tidak langsung mampu menjadi pemangkin pembangunan di sepanjang koridor lebuh raya iaitu Bandar Saujana Putra, Kebun Baru, Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Jenjarom dan Banting," katanya.

Beliau berkata, lebuh raya empat lorong-dua hala dengan kelebaran 3.65 meter bagi setiap lorong itu dibina dengan penekanan aspek kualiti dan ciri keselamatan seperti dilengkapi sistem pemantauan trafik dan pasukan ronda 24 jam sehari.

"Saya yakin dengan kualiti ini serta kemudahan yang ditawarkan, ia mampu menjadi laluan yang selesa dan selamat kepada pengguna lebuh raya," katanya ketika berucap pada majlis perasmian SKVE Seksyen 2 itu di Plaza Tol Teluk Panglima Garang dekat sini, hari ini. 

Ucapannya dibacakan Ketua Setiusaha kementerian, Datuk Himmat Singh. 

Lebuhraya SKVE sepanjang 52km itu mempunyai tiga seksyen iaitu 1A dan 1B, Sekyen 2 dan Sekyen 3 dengan kos RM1.1 bilion. 

SKVE yang melalui Lebuh raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan cadangan Lebuh raya Persisiran Pantai Barat, bermula di persimpangan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Bangi dan berakhir di jalan lingkaran Pulau Indah. 
Fasa pertama projek ini iaitu bagi Seksyen 1A disiapkan pada tahun 2000 manakala Seksyen 1B beroperasi secara rasminya pada 29 Jun 2010. 

"Pembukaan bahagian yang telah siap, menunjukkan usaha pemegang konsesi (SKVE Holdings) dan kerajaan untuk memberikan lebuh raya yang efisyen kepada orang ramai serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan komersial utama dan perindustrian," katanya. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Ismail Md Salleh dalam sidang media berkata kos pembinaan SKVE Seksyen 2 itu membabitkan RM230 juta. 

"Bagi kadar tol pula kami tetapkan sen 14.96 satu kilometer," katanya yang turut menambah fasa terakhir iaitu Seksyen 3 lebuh raya itu dijangka siap pada Julai tahun depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment