My Add

Sunday 3 February 2013

100,000 meriahkan Pesta Ponggal

 *NAJIB Tun Razak beramah mesra dengan orang ramai semasa menghadiri sambutan Pesta Ponggal di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi. - MINGGUAN/IZHAM JAAFAR

KUALA LUMPUR, SABTU, 02 Februari, 2013: atuk Seri Najib Tun Razak memberikan jaminan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan mengecewakan harapan masyarakat India jika BN terus diberi mandat mentadbir negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Menurut Perdana Menteri, lebih banyak perubahan akan dilakukan kerajaan untuk negara termasuk pembangunan masyarakat India sekiranya rakyat memberikan sokongan padu kepada BN.

"Saya nak pastikan masyarakat India dapat membangun setanding kaum lain. Saya tak mahu mereka rasa terpinggir. Apa yang saya mahu, mereka semakin hari semakin maju. Hari esok lebih baik untuk masyarakat India.

"Sebagai contoh, saya akan berbincang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran supaya Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang tidak mendapat bantuan penuh kerajaan dinaik taraf sebagai sekolah bantuan penuh secara berperingkat-peringkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sambutan Pesta Ponggal yang dihadiri kira-kira 100,000 orang di Dataran Merdeka di sini malam ini.

Yang turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; Duta Khas ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu serta barisan menteri Kabinet.

Najib berkata, selain itu Kolej Tafe juga dicadangkan supaya dinaik taraf menjadi Kolej Universiti Teknikal bagi memberikan peluang anak-anak masyarakat India melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal.

"Kita juga merancang untuk meningkatkan jumlah ekuiti masyarakat India kepada sekurang-kurangnya tiga peratus serta menambah bilangan akses kaum itu dalam pengajian tinggi.

"Kerajaan juga komited untuk mengurangkan kadar jenayah dan penglibatan orang muda dalam gejala tersebut. Ini masalah sosial yang ada dalam masyarakat India yang perlu kita beri perhatian," tegasnya.

Katanya, sumbangan masyarakat India di negara ini sememangnya tidak boleh dinafikan dan tidak seharusnya diperkecilkan.

"Daripada industri getah, sektor perkhidmatan kereta api, jalan raya, pembinaan bangunan, keringat mereka mencurah bakti kepada kejayaan negara. Juga pentadbiran-pentadbiran lain seperti kesihatan dan kehakiman, masyarakat India turut sama terlibat dan mempunyai peranan mereka.

"Tetapi, masih banyak cabaran dan masalah melibatkan kaum India yang perlu kita beri perhatian. Sebab itu kita tubuhkan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India dan beri perhatian khusus untuk pembangunan mereka," tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment