16 projek pembangunan P. Pinang
Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
PULAU PINANG, JUMAAT, 01 Februari, 2013: Barisan Nasional (BN) membuktikan tohmahan pembangkang yang kononnya negeri ini diabaikan Kerajaan Persekutuan adalah salah apabila berterusan menyalurkan peruntukan besar.
Terbaharu, sebanyak RM330.6 juta diluluskan bagi melaksanakan 16 projek permulaan bagi tahun ini melibatkan bahagian pulau dan juga Seberang Perai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, antara projek berkenaan adalah pembinaan laluan di Jambatan Kedua Pulau Pinang bernilai RM200 juta yang turut melengkapkan pembinaan jambatan itu.
"Bagi mengatasi kesesakan di kawasan Zon Perindustrian Bebas, projek menaik taraf jalan dari Batu Maung ke Jalan Sultan Azlan Shah sepanjang 4.5 kilometer yang menelan kos RM20 juta juga disenaraikan dan dijangka siap menjelang tahun depan," katanya.
Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, di sini hari ini.
Katanya, 16 projek berkenaan dijangka bertambah kerana peruntukan siling untuk negeri ini yang diberikan oleh kerajaan Pusat mencecah RM1.023 bilion.
"Antara projek lain dalam pakej itu termasuklah pembinaan Rumah Ehsan di Nibong Tebal bernilai RM53 juta, projek tebatan banjir di Tasek Gelugor (RM10 juta), rumah pam di Tasek Gelugor (RM1 juta) dan pembangunan semula pasar di Seberang Jaya sebanyak RM1.5 juta," katanya.
Sementara itu, seramai 416,000 orang layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang mula diagihkan esok.
Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan hampir sekali ganda berbanding 245,000 orang tahun lalu.
"Pada 2012, kerajaan memperuntukkan RM122.4 juta untuk BR1M dan tahun ini ia meningkat kepada RM183.6 juta termasuk mereka yang bujang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan yang menerima RM250.
"Saya yakin dana itu akan dapat diagihkan dengan baik dan penerima dapat menggunakan bantuan berkenaan untuk meringankan beban perbelanjaan mereka," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment