My Add

Saturday 16 February 2013

36 rumah rosak akibat ribut di Taman Sempilai

KULIM, SABTU, 16 Februari, 2013: Sebanyak 36 rumah rosak dengan lima mengalami kerosakan teruk akibat dilanda ribut yang berlaku di Taman Sempilai, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian ribut kuat dan hujan lebat kira-kira 4.55 petang itu kebanyakan rumah yang terbabit mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan dapur, dengan bumbung beberapa buah rumah diterbangkan.

"Lima rumah kebanyakannya rumah teres mengalami kerosakan bumbung apabila diterbangkan angin kuat yang berlaku dalam tempoh kurang daripada lima minit," kata Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim, Rohana Yusuf kepada pemberita selepas melawat rumah terbabit di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, tiada mangsa yang cedera akibat kejadian itu dan kebanyakan rumah perlu mengganti bumbung dan siling baru.

Seorang mangsa, penoreh getah Yaakob Saad, 61, berkata bumbung jenis kajang bahagian dapur rumahnya yang baru dua bulan dibina diterbangkan angin ke bahagian bumbung ibu rumah dan dia terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Hitech Park di sini untuk mengalihkan bumbung dapur yang rosak itu.

"Saya belanjakan kira-kira RM6,000 untuk membesarkan bahagian dapur rumah saya," katanya sambil menambah ketika kejadian dia dan isterinya Hasnah Jaafar, 58, dan anak lelakinya Azrul, 18, berada dalam rumah.

Seorang pesara, Ramli Md Sahat, 59, berkata pada mulanya dia mahu menunaikan solat fardu Asar di surau taman perumahan itu, yang bersebelahan rumahnya, tetapi selepas mendapati hujan dan angin kuat lalu dia membatalkan hasratnya itu.
"Belum sempat bersembahyang di rumah, bumbung bahagian ruang tengah dan sebuah bilik tidur diterbangkan angin kuat. Habis basah lencun bahagian ruang tengah, dapur dan bilik tidur dimasuki air hujan dalam kejadian tidak sampai tiga minit itu," katanya.

Katanya, pada 2008 pernah berlaku kejadian ribut tetapi rumahnya terselamat.

Setiausaha UMNO Bahagian Padang Serai, Ahmad Zubib Saad dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, Asmadi Abu Talib turut hadir menziarah keluarga yang terbabit musibah berkenaan.

Tinjauan BERNAMA mendapati kakitangan JKM daerah Kulim dan Jabatan Pembangunan Persekutuan Daerah Kulim juga giat melawat semua rumah terbabit sambil membuat taksiran kerugian yang dialami mangsa berkenaan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri Merbau Pulas, Abdul Halim Hasan, berkata pihaknya akan mengeluarkan bantuan segera kepada mangsa ribut berkenaan dalam tempoh sehari dua ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment