My Add

Sunday 24 February 2013

Air Selangor semakin gawat

SHAH ALAM, SABTU, 23 Februari, 2013: Paip reput, atap repui di loji rawatan air, pam rosak akibat beroperasi melebihi had sebenar, loji rawatan air beroperasi pada kapasiti sepenuhnya; dan lebih teruk lagi, tidak cukup air dirawat untuk pengguna domestik dan industri, masalah air di Selangor kini semakin gawat.

Kerajaan negeri enggan memberikan kelulusan kepada empat syarikat konsesi air mendapatkan dana bagi menyelesaikan masalah berkenaan kerana ia berhasrat mengambil alih syarikat air berkenaan.

Namun selepas hampir lima tahun sejak kerajaan negeri mengumumkan hasrat untuk "penstrukturan semula industri air ", Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini membuat percubaan keempatnya selepas tiga percubaan sebelum ini ditolak konsesi terbabit.

Tawaran kerajaan negeri Selangor sebanyak RM9.65 bilion seperti diumumkan Abdul Khalid pada Rabu kepada empat konsesi, sebenarnya telah menimbulkan lebih banyak soalan daripada jawapan seperti "dari mana datangnya pembiayaan besar itu?" dan "Bank mana yang bersedia menyokong tawaran itu?"

Abdul Khalid ditanya soalan itu oleh pemberita namun memilih untuk tidak mendedahkannya.

Beliau mungkin sudahpun memikirkan strateginya.

Tidak mengejutkan apabila Abdul Khalid dalam kenyataannya mengenai pengambilalihan itu, turut membidas Tan Sri Rozali Ismail, tokoh penting dalam kalangan konsesi berkenaan, apabila Menteri Besar berkata, beliau berharap Rozali tidak akan "memprejudiskan" tawaran pengambilalihan oleh kerajaan negeri.

Rozali ialah pemegang saham majoriti Puncak Niaga Holdings, yang memiliki dua daripada empat syarikat konsesi, Punca Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Rozali menyifatkan kenyataan Abdul Khalid bahawa menolak tawaran kerajaan negeri itu umpama menolak tawaran daripada rakyat Selangor sebagai amat tidak bertanggungjawab dan bermotifkan politik.

"Majoriti pemegang saham dalam Puncak Niaga dan SYABAS juga adalah rakyat Selangor. Pelanggan SYABAS bejumlah lebih tujuh juta juga kebanyakannya adalah rakyat Selangor. Kumpulan minoriti pemegang saham Puncak Niaga Holdings, iaitu sebanyak 58.75 peratus dalam syarikat itu juga rakyat Selangor," katanya.

Jika diteliti, tawaran Abdul Khalid itu gagal menangani masalah kekurangan air yang bakal dihadapi kerana pengambilalihan syarikat berkenaan tidak akan dalam apa cara sekalipun dapat meningkatkan jumlah air dirawat hatta setitis pun, kata Dr Zaharuddin Ahmad Sabri, ahli akademik dan pakar air.

"Khalid bergantung kepada penerimaan tawarannya oleh SYABAS dan Puncak Niaga. Saya mahu bertanya kepada beliau, adakah beliau sebenarnya sudah mendapat lampu hijau daripada dua lagi syarikat -- Splash dan ABASS? Dan bagaimana anda boleh jangkakan yang syarikat konsesi ini akan menerima tawaran itu dalam tempoh 14 hari sahaja?," soalnya.

Dr Zaharuddin berkata, mustahil urusan itu dapat diselesaikan dalam waktu sesingkat itu kerana sesetengah syarikat berkenaan juga merupakan syarikat senaraian awam dan perlukan kelulusan pemegang saham untuk keputusan penting.

Beliau berkata, sudah hampir lima tahun sejak pelan penstrukturan semula air diumumkan tetapi sehingga kini kerajaan negeri masih belum mendedahkan perancangan bagaimana ia akan menyelesaikan masalah kekurangan air yang dijangka berlaku tahun depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment