My Add

Wednesday 6 February 2013

Anak Sabah diminta jangan gadai masa depan

PUTATAN, SELASA, 05 Februari, 2013: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin mengingatkan anak Sabah, khususnya di kawasan Putatan agar tidak menggadaikan masa depan mereka dengan memilih pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, rakyat mesti membuat pilihan bijak dan hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat menjamin masa depan mereka.

"Jangan gadaikan masa depan kita. Pembangkang hanya pandai menabur janji kosong semata-mata untuk memancing undi, dan saya harap rakyat khususnya di Putatan tidak terpedaya dengan janji pembangkang.

"Sebaliknya, kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan janji kepada rakyat, dan banyak lagi yang kerajaan akan lakukan untuk mendahulukan rakyat, katanya kepada pemberita selepas penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2.0) daerah Putatan di Dewan Kampung Pasir Putih, dekat sini hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Putatan, Datuk Marcus Mojigoh. Sebanyak 6,259 penduduk di daerah Putatan layak menerima BR1M 2.0.

Yahya berkata, pemberian BR1M 2.0 membuktikan kerajaan BN komited dalam menepati janji kepada rakyat.

Selain BR1M 2.0, katanya, kerajaan memberi BR1M kepada orang bujang, bantuan persekolahan RM100 untuk pelajar sekolah dan baucar buku RM200 bagi penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas berkata, kesemua bantuan itu menunjukkan kesungguhan kerajaan meringankan beban rakyat pada semua peringkat umur dan lapisan masyarakat.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mahu rakyat terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan BN pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Katanya, ini bagi memudahkan kerajaan BN menjayakan pelaksanaan agenda pembangunannya termasuk pembaharuan yang menyeluruh untuk rakyat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment