My Add

Tuesday 26 February 2013

APMM tahan kapten, anak kapal cuba jual 70,000 tan bahan bakar

JOHOR BAHRU, SELASA, 26 Februari, 2013: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan seorang kapten bersama 25 anak kapal kerana cuba menjual 70,000 tan metrik 'fuel oil' bernilai RM225 juta kepada pengusaha perkhidmatan bunker, di perairan Pengerang dekat Kota Tinggi, Sabtu lepas.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Rozali Md. Said berkata, kesemua mereka bersama kapal tangki MT Bramani ditahan pada pukul 5 petang di kedudukan 2.3 batu nautika tenggara Pulau Lima, Pengerang, selepas gerakan mencari dan mengesan dilakukan APMM di kawasan perairan itu.

"APMM sebelum itu menerima laporan dari wakil pemilik minyak, Glammarine Services pada 10 Feb lepas yang menyatakan kapal dari kelas Aframax dan berdaftar di Jakarta, Indonesia, itu telah melarikan 70,000 metrik tan 'fuel oil' milik mereka dari perairan Tanjung Agas, Pekan, Pahang," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Rozali berkata, kapten dan 25 anak kapal itu merupakan rakyat Indonesia yang berumur 20 hingga 55 tahun dan siasatan awal mendapati mereka cuba menjual minyak itu kepada pengusaha perkhidmatan bunker di negeri ini; Singapura dan Batam, Indonesia.

Beliau berkata, kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan kerana mencuri, Seksyen 37 dan 57 Akta Kastam kerana belayar tanpa pelepasan pelabuhan serta Seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment