My Add

Thursday 7 February 2013

BN tunai janji bantu SAR Kedah

Oleh mohd. shariza abdullah


*AHMAD Bashah Md. Hanipah (lima dari kanan) memperkatakan sesuatu kepada sebahagian daripada pengetua sekolah agama dan pondok tahfiz pada majlis penyerahan bantuan kepada sekolah berkenaan di Padang Lumat, Jerai semalam.

JERAI, RABU, 06 Feb Kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini mengotakan janjinya untuk terus membantu sekolah agama rakyat (SAR) dan pondok tahfiz apabila menyampaikan sumbangan sebanyak RM740,000 kepada 19 buah institusi tersebut di negeri ini.

Majlis penyampaian sumbangan masing-masing sebanyak RM50,000 kepada setiap 12 SAR dan RM20,000 kepada tujuh pondok tahfiz itu diadakan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Taufikiah Khairiah Al-Halimiah, Padang Lumat di sini yang disempurnakan oleh Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Kelulusan sumbangan itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa berucap pada majlis perjumpaan bersama pemimpin SAR dan pondok seluruh negeri ini di sekolah tersebut pada 20 Disember lalu.

Sumbangan itu merupakan antara permintaan yang diutarakan oleh pemimpin institusi berkenaan ketika pertemuan tertutup tersebut diadakan.

Sementara itu, beberapa pemimpin institusi berkenaan melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dengan sumbangan tersebut yang dapat membantu meringankan beban mereka dalam mengurus dan membangunkan sekolah masing-masing.

Mereka juga menyifatkannya sebagai tanda komitmen dan kesediaan kerajaan BN untuk terus menyumbang supaya mutu pembelajaran pendidikan Islam yang disediakan di SAR dan pondok dapat dipertingkatkan ke tahap lebih tinggi.

Pengetua SMA Maahad Ad-Dini di sini, Datuk Syeikh Abdul Razak Mohd. Yusof berkata, sumbangan berkenaan dapat digunakan untuk melancarkan pengurusan sekolah itu.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang prihatin dengan keperluan SAR dan sekolah pondok," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan berkenaan.

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Rahman Ku Ismail dan Pegawai Kemajuan Negeri, Datuk Azmi Lateh.

Pengetua SMA Taufikiah Khairiah Al-Halimiah, Azizah Yahaya turut melahirkan rasa syukur dan gembira dengan sumbangan tersebut bagi membantu perkembangan pendidikan anak bangsa dalam sistem SAR.

"Sumbangan ini akan digunakan dengan sebaik-baiknya terutama untuk meningkatkan prasarana yang masih kurang," katanya.

Ahli Jawatankuasa Lembaga SMA Daris, Sungai Petani, Azizan Ahmad turut melahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan kerajaan BN itu yang boleh digunakan untuk menambah bangunan sekolah berkenaan bagi menampung pertambahan pelajar.

Sementara itu, Azmi memberitahu, Kerajaan Pusat juga telah bersetuju meluluskan peruntukan kira-kira RM450,000 bagi pembinaan dan kerja-kerja menaiktaraf dewan SMA Taufikiah Khairiah Al-Halimiah yang terbengkalai sejak lebih 10 tahun lalu.

Katanya, permohonan berkenaan telah dibuat sebelum Timbalan Perdana Menteri melawat sekolah tersebut pada Disember lalu dan kontraktor dijangka memulakan kerja dalam tempoh terdekat.

"Ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu sekolah ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment