My Add

Sunday 3 February 2013

BR1M 2.0 mula diagih


 *NAJIB menyerahkan wang BR1M 2.0 kepada beberapa penerima di Ampang, Selangor semalam.

AMPANG, SABTU, 02 Februari, 2013: Dana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang bakal dinikmati oleh tujuh juta isi rumah dan individu bujang mula diagihkan di seluruh negara semalam.

Majlis pelancaran bantuan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM3 bilion itu dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.

Menurut Najib, pemberian BR1M merupakan bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah juara dalam mentadbir negara dan mengurus ekonomi.

Katanya, pemberian BR1M yang memasuki pusingan kedua diteruskan selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri merekodkan kutipan cukai yang tinggi mencecah RM125 bilion tahun lalu.

 *BANTUAN. Tiga penerima (dari kiri) Barudin Md. Saad, 67, Huan Seok Eng, 50, dan Lim Kim Huat, 72, menunjukkan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 yang diterima di Taman Derga Jaya, Alor Setar semalam.

"BR1M merupakan janji kerajaan BN kepada rakyat, ia boleh ditunaikan kerana pentadbiran dan pengurusan ekonomi negara dilakukan dengan baik," ujarnya pada majlis pelancaran bantuan itu di sini.

Menerusi pemberian BR1M tahun lalu, kerajaan menyalurkan bantuan RM500 kepada 4.2 juta isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah melibatkan peruntukan kira-kira RM2.2 bilion.

 *KONGSI KEGEMBIRAAN. Beberapa penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 daripada pelbagai kaum teruja selepas menerima baucar wang RM500 di Butterworth semalam.

Pada pembentangan Bajet 2013 tahun lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pemberian BR1M 2.0 diperluaskan kepada orang bujang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan kurang RM2,000. Mereka layak menerima RM250.

Dalam pada itu, Najib berkata, pembangkang cuba menghasut rakyat supaya membenci kerajaan dengan mendakwa dana bagi pemberian BR1M 2.0 dikutip antaranya melalui pelaksanaan peraturan kamera lalu lintas Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

 *CERIA. Sebahagian daripada orang ramai menunjukkan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 bernilai RM500 yang diagihkan di Jelebu semalam.

"Ini tuduhan palsu yang dibuat pembangkang. AES bukan cukai pada rakyat, ia hanya denda bagi mereka yang memandu laju, itu pun masih di peringkat kajian," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop memberitahu, kira-kira 950,000 penerima di seluruh negara telah mendapat wang BR1M 2.0 semalam.

"Bantuan disampaikan secara berperingkat-peringkat, semua yang membuat permohonan akan diberi surat jawapan. Kita yakin pada hujung bulan ini semua agihan akan selesai," katanya ketika dihubungi semalam. - KOSMO

No comments:

Post a Comment