My Add

Saturday, 23 February 2013

BR1M: Nik Aziz pertahan kenyataan

KOTA BHARU, SABTU, 23 Februari, 2013: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak mempedulikan kritikan seluruh rakyat negara ini apabila mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang menyamakan penerima bantuan daripada Kerajaan Pusat umpama `haiwan.'

Beliau yang didesak pelbagai pihak supaya memohon maaf sebaliknya menuduh UMNO yang telah meletakkan taraf rakyat umpama haiwan melalui pemberian pelbagai jenis bantuan wang termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan BR1M 2.0.

Menteri Besar itu dalam nada tegas turut mempertahankan perumpamaan yang diberikannya sebelum ini iaitu sambutan orang ramai terhadap bantuan Kerajaan Pusat sama dengan haiwan yang akan menghampiri manusia sekiranya makanan haiwan itu disediakan.

Pada masa sama beliau berkata, rakyat sememangnya berhak untuk mengambil bantuan BR1M kerana ia adalah duit kerajaan dan bukan milik UMNO.

"UMNO sekarang guna duit pula, BR1M, BR1M 2.0. Kalau kita hendak panggil ayam, panggil itik datang, aku hendak memberi ceramah agama mana ada itik hendak datang, tetapi apabila memberi hampas kelapa, tabur padi baru dia hendak datang.

"Sama juga sekiranya panggil lembu, kuda hendak memberi ceramah mereka pasti tidak akan datang, tetapi apabila beri rumput, hampas kelapa, nasi mereka akan datang.

"Kalau panggil orang beri benda tetapi tidak beri ilmu ertinya kita letak manusia ini sama taraf dengan haiwan. UMNO silap ini, silap tidak memberi wahyu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis bersama warga Yayasan Islam Kelantan di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment