My Add

Tuesday 5 February 2013

Calon wanita mungkin bertanding di Kota Samarahan

KUCHING, ISNIN, 04 Februari, 2013: Seorang calon wanita disebut-sebut untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Samarahan satu daripada 14 kerusi yang akan dipertahankan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, adalah menjadi dasar parti PBB dan Barisan Nasional (BN) Sarawak untuk cuba meramaikan calon-calon wanita dalam pilihan raya nanti.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan mengumumkannya (senarai calon PBB), jangan bimbang, pada asasnya beliau telah bersetuju mengenai perkara itu," kata Taib yang juga pengerusi BN negeri dan presiden PBB kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Jentera Wanita BN Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri Lama, Petra Jaya di sini, hari ini.

"Ia (pengumuman itu) tidak lama lagi mungkin dalam masa dua atau tiga minggu lagi," katanya mengulas ucapan terdahulu bahawa seorang calon wanita mungkin menggantikan seorang calon lelaki sedia ada dalam satu daripada 14 kerusi yang akan ditandingi PBB.

Kini, PBB mempunyai tiga anggota parlimen wanita iaitu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Karim yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar, Nancy Shukri (Batang Sadong) dan Norah Abdul Rahman (Tanjong Manis). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment