KUANTAN, AHAD, 24 Februari, 2013: Keengganan pihak pembangkang menandatangani ikrar bagi mempertahankan integriti dan komitmen dalam memastikan pilihan raya bersih membuktikan mereka tidak sanggup untuk memikul tanggungjawab itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, sikap pembangkang itu jelas menunjukkan mereka sebenarnya masih ragu-ragu untuk memastikan pilihan raya umum akan datang bersih dan bebas dari rasuah.
"Bila Perdana Menteri tandatangani ikrar tersebut, ia melambangkan kesetiaan beliau dan pemimpin parti komponen yang lain untuk menjalankan tugas dengan penuh bermaruah.
"Tapi kalau pembangkang tak nak 'sign', nampak sangat keraguannya...Maknanya mereka telah 'pre-empt', jika berlaku salah guna kuasa nanti mereka tidak mahu bertanggungjawab dan memberi alasan bahawa mereka tidak sign ikrar tersebut," katanya keengganan pembangkang menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Penubuhan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahagian Pahang di sini, hari ini.
Rabu lalu, Najib serta pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional menandatangani ikrar tersebut bersama Transparency International Malaysia (TI-Malaysia).
Dalam pada itu, Adnan mahu MTUC Pahang bekerjasama dengan majikan di negeri ini dalam memastikan golongan pekerja dan majikan menjalin hubungan yang erat sekaligus dapat mewujudkan persekitaran pekerjaan yang lebih selesa dan kondusif.
"Di samping mempertahankan hak-hak golongan pekerja, MTUC perlu seimbangkan hubungan pekerja dan majikan, bagi memastikan perusahaan berjalan lancar supaya dapat menyumbang dan menjana ekonomi negeri," katanya.
Pada majlis tersebut Adnan turut meluluskan peruntukan pentadbiran untuk MTUC Pahang sebanyak RM25,000.
Turut hadir Timbalan Presiden MTUC, Mohd Jaafar Abd Majid. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment