My Add

Wednesday 6 February 2013

Jangan cepat buat kesimpulan mengenai RCI: Pengerusi SPR

KUCHING, SELASA, 05 Februari, 2013: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini meminta semua pihak supaya mengelak daripada membuat sebarang kesimpulan tentang perkara berkaitan dengannya yang disebut dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata oleh kerana siasatan RCI masih berterusan, maka adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak memberi komen yang menyalahkan mana-mana pihak berhubung perkara yang ditimbulkan dalam prosiding itu.

"Janganlah buat sebarang kesimpulan sebelum prosiding ini selesai. Janganlah tuduh SPR itu dan ini. Tak tepat. Belum habis. Tunggulah sampai habis. Kita hormatilah RCI," katanya.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, beliau berkata, memberi komen ketika ini samalah seperti membuat kesimpulan tentang kesudahan cerita dalam sebuah filem yang belum habis ditayang.

"Pada awal cerita dalam filem tu, hero kena tembak. Tapi, janganlah buat kesimpulan hero tu dah mati. Pada penghujung cerita, rupa-rupanya dia pengsan saja," katanya.

Mengulas persiapan SPR untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, Abdul Aziz berkata, suruhanjaya itu dianggar memerlukan RM78 juta untuk melaksanakan tugasnya di Sarawak, dengan lebih separuh daripada jumlah itu diperlukan untuk menyewa kenderaan untuk kegunaan petugasnya.

Katanya, jumlah yang diperlukan itu adalah yang paling tinggi berbanding untuk negeri lain berikutan keluasan Sarawak.
Terdahulu, beliau menyerahkan surat pelantikan kepada lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai pemerhati tempatan bagi PRU ke-13 di Sarawak.

Dalam ucapan pada majlis itu, Abdul Aziz berkata empat persatuan; Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh, Persatuan Kebangsaan Orang Ulu, Persatuan Belia Islam Nasional Cawangan Sarawak dan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak, akan memantau proses pilihan raya di kawasan Kuching.

Persatuan Melanau Sibu dan Dewan Perniagaan Cina Sibu akan bertindak sebagai pemerhati bagi kawasan Sibu, manakala Persekutuan Orang Ulu Malaysia dan Persatuan Cina Miri menjadi pemerhati bagi kawasan Miri, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment