KBS sedia bekerjasama tangani rasuah, judi bola sepak
KUALA TERENGGANU, SABTU, 23 Februari, 2013: Kementerian Belia dan Sukan sedia memberi bantuan dan kerjasama kepada Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) bagi menangani gejala rasuah dan judi bola sepak serantau.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata rasuah dan judi bola sepak merupakan jenayah yang merentasi sempadan dan tidak boleh bergantung harap kepada sebuah negara sahaja bagi menangani gejala itu.
Katanya tindakan AFC yang menubuhkan pasukan bertindak untuk memerangi dan membanteras rasuah bola sepak dan mengatur keputusan perlawanan adalah sangat wajar.
"AFC telah mengambil langkah yang wajar dan kita bersedia membantu bila-bila masa yang diperlukan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan Baucar Buku 1Malaysia dan Pelancaran IM4U Outreach Centre di Universiti Sultan Zainal Abidin di sini.
Menurutnya judi bola sepak pada kebiasaanya beroperasi melalui Internet dan ada sebahagian sistem yang digunakan agak rumit dan memerlukan kepakaran pihak polis antarabangsa bagi menanganinya.
Ahmad Shabery berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang tegas dalam soal membanteras rasuah dan pertaruhan bola sepak yang dengan kerjasama semua pihak ia mampu dilumpuhkan.
"Jika perkara seperti ini berleluasa di negara kita, orang ramai akan hilang kepercayaan dan sekaligus boleh merosakkan industri bola sepak tanah air.
"Negara lain juga turut menghadapi perkara yang sama, namun Malaysia belum sampai ke peringkat yang lebih parah," katanya.
Semalam AFC dilapor telah menubuhkan pasukan bertindak untuk memerangi dan membanteras gejala rasuah bola sepak dan mengatur keputusan perlawanan.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Alex Soosay dalam satu kenyataan berkata pasukan bertindak itu akan bekerjasama dengan semua pemegang kepentingan dan memberi tunjuk ajar kepada ahli gabungan AFC mengenai cara membanteras amalan berkenaan dengan memperkenalkan mekanisme memeranginya.
Awal bulan ini, agensi anti jenayah Eropah menyatakan keputusan ratusan perlawanan bola sepak sudah diatur di seluruh dunia melalui sindiket di Singapura. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment