Kedai makan Asnaf 1Malaysia pendekatan baharu Jawi
KUALA LUMPUR, SELASA, 26 Februari, 2013: Usaha Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memperkenalkan kedai makan Asnaf 1Malaysia di ibu negara sebagai satu daripada pendekatan dakwah, mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan sasar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sejak beroperasi 1 Januari lepas, kedai yang terletak di bangunan Darul Jam'iyah di Jalan Rahmat di sini menerima kunjungan kira-kira 800 orang golongan asnaf setiap hari terutamanya golongan yang tidak berumah.
"Di KL (Kuala Lumpur) berbeza sedikit dengan tempat lain kerana ada golongan asnaf yang tidak mempunyai rumah dan tidur di kaki lima. Jadi mereka boleh datang ke kedai makan ini mengambil makanan secara percuma," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kedai itu hari ini.
Dalam hukum Islam terdapat lapan golongan asnaf iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, riqab (hamba yang ingin membebaskan diri), gharimin (orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi permasalahan diri atau keluarga), fisabilillah (berjuang untuk agama) dan ibnu sabil (orang Islam yang kehabisan perbelanjaan ketika dalam perjalanan).
Jamil Khir berkata, dana sebanyak RM1.2 juta setahun daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diperuntukkan untuk operasi kedai makan itu, yang pertama seumpamanya di negara ini, dibuka bermula 11 pagi hingga 4 petang setiap hari.
"Ketika mengambil makanan, mereka diberi kuliah agama secara santai dan diajak menunaikan solat Zohor secara berjemaah bagi merapatkan hubungan golongan berkenaan dengan agensi agama.
"....ini dapat memberi semangat dan motivasi kepada golongan ini dan mungkin sebelum ini orang ramai akan fikir pendekatan jabatan agama bersifat penguatkuasaan semata-mata tetapi kini dakwah dilihat lebih luas daripada itu iaitu dakwah menerusi pemberian makanan, bantuan," katanya.
Jamil Khir berkata, kedai makan itu bagaimanapun tidak hanya terhad kepada golongan asnaf kerana golongan bukan asnaf juga tidak dihalang mengambil makanan sebagai usaha dakwah.
Beliau berkata, penubuhan kedai makan itu secara keseluruhannya menjadikan sebanyak 29 skim bantuan disediakan oleh Baitulmal MAIWP kepada golongan asnaf bagi memastikan mereka mendapat hak dan pembelaan sewajarnya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment