My Add

Saturday, 16 February 2013

Kegiatan ekonomi nelayan sentiasa diperkasa: Sabry

KANGAR, SABTU, 16 Februari, 2013: Kegiatan ekonomi nelayan sentiasa diperkasakan melalui pelbagai program termasuk pelaksanaan Pasar Nelayan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Sabry Ahmad hari ini.

Katanya, terserah kepada nelayan untuk menyertai dan menyokong pelbagai program itu yang semuanya bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup nelayan.

Berucap merasmikan Pasar Nelayan di Simpang Tiga dekat sini, hari ini, beliau berkata ia adalah Pasar Nelayan pertama diwujudkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan diuruskan Persatuan Nelayan Negeri Perlis yang akan memberi manfaat kepada dua pihak iaitu nelayan dan pengguna.

Katanya, Pasar Nelayan yang menggabungkan kegiatan pemasaran hasil laut melalui program Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia dan hab pengumpulan dan pengedaran ikan air tawar itu dibina dengan kos RM70,000 dan mula beroperasi seminggu lalu.

Menurutnya, pasar itu menawarkan harga hasil laut yang lebih rendah supaya tidak membebankan pengguna.

Sabry berkata, kerajaan negeri juga memohon kepada LKIM bagi menyediakan sebuah pusat sejuk beku di Kuala Perlis untuk keperluan nelayan menyimpan hasil laut.

Katanya, pusat sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM1 juta itu berkeupayaan menyimpan lebih 200 tan metrik hasil laut pada satu masa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment