My Add

Wednesday 6 February 2013

Kira-kira 420,000 isi rumah sudah terima BR1M 2.0 

IPOH, SELASA, 05 Februari, 2013: Kira-kira 420,000 isi rumah menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang membabitkan peruntukan sebanyak RM210 juta sejak pembayaran itu diagihkan awal Februari ini, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, jumlah itu ialah daripada tujuh juta isi rumah dan individu bujang yang memohon bantuan berkenaan sehingga 31 Disember lalu.

"Kami jangka akan agihkan bantuan ini kepada mereka yang membuat permohonan pada 31 Dis atau sebelumnya, sehingga 28 Feb ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan BR1M 2.0 bagi kawasan Parlimen Tambun kepada 972 penerima di sini, hari ini.

Katanya, bagi individu bujang pula bantuan itu akan diagihkan selepas pembayaran selesai dibuat kepada penerima isi rumah.

"Bulan Februari ini kami akan selesaikan sama ada bagi penerima isi rumah mahupun individu, kecuali yang mohon selepas 31 Disember, akan diproses oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terlebih dahulu, sekiraya boleh diagihkan pada bulan ini, kami akan agihkan kalau tidak mungkin lewat sedikit," katanya.

Beliau berkata, permohonan masih lagi dibuka sebelum tarikh tutup diputuskan.

"Permohonan tidak boleh berterusan, kami jangka hampir semua yang layak memohon BR1M ini telah mendaftar, jadi kami akan tetapkan tarikh tutup tidak lama lagi," katanya.
Beliau akan memaklumkan mengenai tarikh tutup permohonan pada mesyuarat Kabinet esok.

Ditanya mengenai pemohon yang membuat permohonan sebanyak dua kali beliau berkata LHDN akan membuat tapisan terlebih dahulu sebelum menerima satu permohonan sahaja.

"Sebanyak 4.1 juta penerima BR1M tahun lepas kamibawa ke tahun ini (tanpa perlu mendaftar semula) dan bakinya adalah tahun ini. Bila pemohon ada yang memohon dua kali, kami akan murnikan senarai itu dengan hanya mengambil kira satu permohonan sahaja," katanya.

Mengenai pembayaran bantuan BR1M, beliau berkata pengagihan BR1M akan diteruskan di kawasan Parlimen dan pengagihan di kawasan Parlimen Tambun hari ini dijalankan kerana perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 10 Februari.

"Kita utamakan dulu kampung-kampung Cina di Kuala Kuang, Chemor, Tanah Hitam dan Changkat Kinding," katanya.

Beliau berkata, pengagihan BR1M dilakukan di Sekolah Kebangsaan Tanjung Rambutan hari ini bagi memudahkan penerima supaya tidak bersusah payah pergi ke bandar Ipoh untuk menunaikan baucer BR1M.

Sementara itu, penerima bantuan Azman Nordin, 53, yang juga pemandu bas berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana meluluskan bantuan BR1M untuk kali kedua.

"Saya juga berterima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Ahmad Husni Hanadzlah atas penyampaian bantuan ini. Saya akan guna duit ini dengan sebaiknya kerana anak saya semua masih bersekolah," katanya yang mempunyai lima orang anak.

Katanya, dengan bantuan ini dapat meringankan beban mereka dan berharap usaha murni kerajaan ini akan berterusan pada masa akan datang.

Bagi S. Muniandy, 77, berkata beliau akan simpan sedikit wang bantuan yang diterima dan akan menggunakannya sekiranya perlu.

"Saya sangat gembira kerana kerajaan banyak membantu rakyat. Saya dan anak-anak tetap akan menyokong kepimpinan Barisan Nasional kerana tanpanya kita tidak merasa kenikmatan ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment