My Add

Saturday 2 February 2013

Lebih 20,000 warga kota sambut Hari Wilayah Persekutuan bersama PM

KUALA LUMPUR, SABTU, 02 Februari, 2013: Lebih 20,000 orang membanjiri Stadium Bolasepak di Bandar Tun Razak di sini untuk bersama-sama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2013.

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di stadium itu disambut laungan 1Malaysia oleh orang ramai yang membanjiri stadium sejak awal pagi, serta diiringi dengan dendangan lagu 1M4U.

Najib kemudiannya membuat pemeriksaan kawalan kehormat oleh 60 anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sambutan yang bertemakan Perpaduan Teras Kesejahteraan Wilayah Persekutuan dimulakan dengan persembahan padang dan udara penuh berwarna-warni oleh 1,200 remaja bertemakan 'Gegaran Wilayah' yang menampilkan aspirasi generasi baru Wilayah Persekutuan.

Sambutan turut dimeriahkan lagi dengan acara perbarisan yang disertai 8,900 peserta daripada 144 kontinjen terdiri daripada pelajar, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, persatuan penduduk, GLC, badan korporat, agensi pelancongan, ahli sukan dan unit beruniform.

Antara kontinjen yang mengambil bahagian dalam perbarisan termasuk pasukan unit berkuda DBKL, kontinjen DBKL, Perbadanan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan, Perbadanan Kampung Baru, Papita, Pandu Puteri, Sekolah Kebangsaan Danau Kota, Sekolah Kebangsaan Taman Kepong serta Sekolah Kebangsaan AU Keramat.

Kontinjen lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Di Raja Malaysia dan Angkatan Tentera Diraja Malaysia, Pos Malaysia Berhad, MRCB, Naza TTDI, SP Setia Bhd, Maybank dan Bank Rakyat serta Majlis Sukan Negara, Majlis Paralimpik Malaysia dan Persatuan Petanque Wilayah Persektuan Kuala Lumpur.

Perbarisan diiringi pancaragam Victoria Institution, Sekolah St John, Sekolah Kebangsaan Convent Bukit Nenas dan Sekolah Menengah Kuen Cheng disamping pancaragam PDRM dan DBKL.

Sempena sambutan hari ini, program konvoi berbasikal SHWP (sambutan hari wilayah persekutuan) turut diadakan yang disertai 1,300 peserta yang berkayuh secara bersantai sejauh 25kilometer melalui kawasan komuniti melibatkan 15 zon penempatan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Persembahan padang hari ini diakhiri dengan persembahan tarian 'Oppa FT Style' dengan diiringi lagu nyanyian kumpulan Fabulous Cat dan Ultimate.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib serta barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment