My Add

Monday 11 February 2013

Majlis Syura Ulama tidak bincang siapa jadi PM

KOTA BHARU, AHAD, 10 Februari, 2013: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, Majlis Syura Ulama Pas tidak pernah membincangkan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang berjaya menguasai negara ini selepas Pilihan Raya Umum akan datang.

Malah beliau menyifatkan dakwaan kononnya majlis tersebut menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah mengarut.

Katanya, dakwaan tersebut adalah fitnah yang sengaja direka oleh UMNO untuk mengkucar-kacirkan pakatan pembangkang yang dianggotai Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Tidak ada mengarut saja, Majlis Syura Ulama Pas, saya pengerusi mana ada, (kita) tidak bincang, tidak ada apa, UMNO suka buat fitnah, dia tidak tahu dosa pahala, mengarut saja.

"Manusia Islam tolak agama erti tidak ada kawalan kepada nafsu buas dia, nafsu manusia ada buas, jadi apa penyekat nafsu ini, bila tolak Islam dan agama tidak ada kawalan atau brek langsung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengunjungi rumah terbuka seorang ahli perniagaan, Kenny Chua Kien Lam, 57, sempena Tahun Baharu Cina di Kampung Limau Manis di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan tercetusnya khabar bahawa Majlis Syura Ulama Pas menolak Anwar Ibrahim bagi menduduki jawatan Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang berjaya menerajui negara ini.

Menurut sumber, walaupun kesahihan mengenai pendirian majlis syura itu masih belum dipastikan namun ia didakwa dibuat dalam satu perbincangan tertutup melibatkan beberapa ahli majlis berkenaan.

Pada Khamis lalu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa, rakan-rakannya di dalam Pas memberitahu, penolakan Majlis Syura Ulama Pas terhadap Anwar semakin kuat.

Keadaan itu dikatakan berlaku ekoran percanggahan pendirian kepimpinan pembangkang dengan majlis itu dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Sementara itu, beliau mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang menyambut perayaan tersebut di negara ini.

"Setiap agama dan bangsa ada perayaan dia. Saya kalau orang Cina jemput saya tanya dulu ini perayaan agama atau perayaan adat resam, kalau perayaan agama saya tak pergi, kerana masing-masing ada agama, ia jelas, bagi saya agama yang betul adalah Islam, orang lain nak terima agama lain dia punya pasal.

"Jadi saya ucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada semua, mudah-mudahan Allah selamatkan manusia hidup aman damai, Islam membawa mesej aman damai," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment