My Add

Sunday, 24 February 2013

Najib ziarah bekas pengawal peribadi di HSNZ

 
KUALA TERENGGANU, SABTU, 23 Februari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dalam lawatan sehari ke Terengganu hari ini, menziarahi seorang bekas pengawal peribadinya yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana menghidap penyakit kronik.

Najib yang sebelum itu merasmikan Program Jelajah Janji Ditepati peringkat Terengganu di Dataran Shahbandar di sini, terus ke hospital untuk melawat Abdul Wahab Abdul Latif, 54, yang merupakan bekas pekerjanya.

Perdana Menteri yang hadir bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meluangkan masa di Wad 8A selama 15 minit dan turut menziarahi pesakit lain di wad berkenaan.

Ketika ditemui pemberita, Abdul Wahab berkata, beliau tidak menyangkakan kehadiran Perdana Menteri melawatnya dan terharu kerana Najib masih mengenalinya meskipun sudah lama meninggalkan profesionnya.

"Dia masih cam saya lagi. Saya gembira dia ingat akan saya," katanya yang ditemani isterinya Zaini Ismail, 49.

Abdul Wahab pernah berkhidmat dengan Najib ketika pemimpin nombor satu itu menjadi Menteri Pelajaran dan Menteri Pertahanan.

Najib kemudiannya menghadiri perjumpaan tertutup dan minum petang bersama pemimpin parti komponen Barisan Nasional negeri di Ri-yaz Heritage, Pulau Duyong. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment