My Add

Sunday 17 February 2013

Pas kian tandus pemimpin berstatus pentadbir: Muhyiddin

SUNGAI PETANI, AHAD, 17 Februari, 2013: Kedudukan PAS yang semakin ketandusan pemimpin bersifat pentadbir bakal meletakkan parti itu dalam keadaan berisiko termasuk untuk ditolak rakyat melalui Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, apa yang berlaku di Kedah dan Kelantan sudah cukup untuk membuktikan kelemahan PAS dalam mentadbir negeri yang diterajuinya.

Malah, katanya prestasi PAS sepanjang mentadbir kedua-dua negeri itu juga turut membuka mata rakyat bukan saja di Kedah dan Kelantan, malah rakyat secara keseluruhan untuk menilai secara telus.

"Rakyat Kelantan dah lama rasa (kepincangan PAS) dan sejak empat tahun lalu, rakyat Kedah pula yang dapat tengok dan rasa sendiri penderitaannya.

"Saya yakin kita akan dapat lihat kesannya melalui PRU ke-13 ini dan ia bukan saja dapat kita rasa di Kedah atau Kelantan, tetapi di seluruh negara," katanya ketika berucap di hadapan lebih 30,000 rakyat Kedah sempena program Himpunan Rakyat 1Malaysia (HR1M), di sini, malam tadi.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata negeri seperti Kedah dan Kelantan tidak memerlukan seorang pemimpin yang hanya tahu pasal agama, tetapi lebih pening tahu bagaimana untuk menguruskan sebuah negeri.

"Kita lihat Menteri Besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak), dia memang orang baik....Baik saja bagaimanapun tak cukup, kita perlukan orang yang ada kemampuan. 

"Di Kelantan pula, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat berstatus 'Tok Guru'....Tetapi, Tok Guru saja tak cukup, sebab kita perlukan pentadbir untuk menerajui negeri," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin ketika berucap yakin aura 'Gelombang Biru' yang disebar melalui program HR1M di semua sembilan lokasi yang dilancarkan sebelum ini termasuk di Kedah mampu menjadi bukti kukuh perpaduan dalam BN yang menjadi tunjang utama kesepakatan parti itu.

"Saya teruja sekali melihat jumlah kehadiran malam ini yang angkanya saya difahamkan melebihi 30,000 orang. Saya kira ini bukti yang cukup baik bahawa rakyat Kedah mahu kembali kepada BN.

"Saya yakin aura hari ni akan terus tersebar ke seluruh negara yang kemudian akan mencetus tindakan 'tukar' melalui PRU ke -13 nanti," katanya. - BH

No comments:

Post a Comment