My Add

Monday 25 February 2013

Pasangan muda terpaksa tinggal dengan ibu bapa

*MOHD. Anuar Kefli (dua dari kanan) dan Syed Mohd. Al-Hafiz (kiri) bersama sebahagian ahli keluarga mereka yang duduk bersesak di sebuah rumah di Jalan Kebun, Shah Alam.
SHAH ALAM, AHAD, 24 Februari, 2013: Dua pasangan muda terpaksa tinggal menyewa bersama ibu bapa mereka dalam sebuah rumah di Kampung Batu 7, Jalan Kebun di sini sejak dua tahun lalu kerana mendakwa sukar untuk mendapat rumah mampu milik di Selangor.

Salah seorang pasangan muda itu, Syed Mohd. Al-Hafiz Syed Ahmad, 29, berkata, dia tiada pilihan selain terpaksa tinggal bersama ibu bapa mertuanya kerana permohonan untuk membeli pangsapuri kos rendah di Shah Alam sehingga kini masih tiada sebarang keputusan.

"Saya juga ingin memiliki rumah sendiri dan hidup bersama isteri serta anak-anak seperti pasangan muda lain tetapi apakan daya kerana kebanyakan kediaman yang dijual di negeri ini sudah mahal.

"Sampai bila saya dan lapan ahli keluarga harus menyewa rumah pada kadar RM450 sebulan. Kami juga adalah impian untuk memiliki rumah seperti orang lain," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Syed Mohd. berkata, dia tidak pernah berputus asa untuk memiliki rumah sendiri namun dengan pendapatan sebanyak RM2,500 sebulan sebagai pekerja pembinaan sudah pasti tidak mampu membeli kediaman kerana projek kediaman di Selangor semuanya melibatkan kos tinggi sekali gus membantutkan niat untuk membeli rumah.

Sementara itu, adik iparnya, Mohd. Anuar Kefli, 27, yang bekerja sebagai pembantu pejabat dengan pendapatan kurang RM1,500 sebulan berkata, dia yang baru berkahwin enam bulan lalu juga sedang mencari rumah mampu milik di negeri ini demi masa depan keluarga.

"Sampai bila saya mahu tinggal menyewa beramai-ramai seperti ini. Saya berharap kerajaan negeri membina rumah kos rendah untuk golongan seperti kami," katanya yang bakal menimbang cahaya mata pertama dalam tempoh terdekat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment