My Add

Saturday 23 February 2013

Pelatih Program Latihan Khidmat Negara jadi 'wakil rakyat'

BALIK PULAU, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Sebanyak 34,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di 81 kem di seluruh negara akan didedahkan dengan proses pilihan raya bagi membolehkan mereka menyerap rasa tanggungjawab sebagai pengundi.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, mereka akan diberi penerangan secara amali dan praktikal bermula daripada proses pembubaran Parlimen sehingga ke hari pembuangan undi.

Menurutnya, menerusi pendedahan sedemikian, para pelatih dapat memahami konsep demokrasi dan fungsi agensi-agensi terbabit seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Bagi siri kali ini, kita akan mengadakan pra pilihan raya di dalam kem dengan melantik beberapa calon pelatih yang dipilih oleh jurulatih sebagai wakil rakyat di kem masing-masing.

"Kemudian sesi penamaan calon, tempoh berkempen dan proses pembuangan undi seperti yang diadakan semasa pilihan raya sebenar akan dilangsungkan bagi membolehkan para pelatih merasai dan melihat sendiri bagaimana pilihan raya diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan angpau sempena Tahun Baharu Cina kepada 445 pelatih PLKN di Kem Sri Mutiara, di sini hari ini.

Abdul Hadi dalam pada itu berkata, Kem Sri Mutiara merupakan kem PLKN pertama yang telah melalui proses pilihan raya berkenaan.

"Sebenarnya kita telah membuat projek percubaan untuk program ini di 14 kem pada tahun lepas dan maklum balas yang diterima daripada pelatih amat baik.

"Oleh itu kita mengambil keputusan untuk memulakan pengenalan kepada pilihan raya ini kepada pelatih bermula siri ini dan berharap agar segala pengalaman serta pengetahuan yang diperolehi sepanjang latihan akan dikongsi bersama masyarakat di luar," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment