My Add

Tuesday 26 February 2013

Penduduk Tambunan gembira dapat RM40juta bina SMK Desa Wawasan

TAMBUNAN, SELASA, 26 Februari, 2013: Penduduk pedalaman di daerah ini menyambut baik kelulusan peruntukan RM40 juta bagi membina bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Wawasan yang sudah lama menumpang di Sekolah Kebangsaan Garas, Mukim Kirokot, dekat sini.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata, kelulusan projek SMK Desa Wawasan itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan pembabitan masyarakat Kadazandusun Murut dalam pendidikan terutama dari konteks pembangunan modal insan.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan persekutuan yang meluluskan pembinaan sekolah ini yang sudah lama dinanti-nantikan oleh rakyat di sini," katanya ketika berucap pada perasmian Program Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Fasa 2 di Dewan Masyarakat Tambunan, semalam.

Kelulusan pembinaan SMK Desa Wawasan itu diumum Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran semasa menghadiri Program Himpunan Rakyat 1Malaysia-Gelombang Biru di Keningau, Sabtu lepas.

Sehubungan itu, Pairin mahu rakyat di situ mensyukuri pelaksanaan projek pembangunan pendidikan tersebut dengan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment