My Add

Wednesday 6 February 2013

Polis selesai kes culik pasangan suami isteri kurang empat jam

KOTA BHARU, RABU, 06 Februari, 2013: Tidak sampai empat jam laporan polis dibuat, sepasang suami isteri yang diculik empat lelaki di rumah mereka diselamatkan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, dalam kejadian jam 12.30 malam 31 Januari lalu, rumah sepasang suami isteri di Kubang Kerian di sini, diceroboh empat lelaki, dua daripadanya warga Myanmar sebelum suspek bertindak memaksa pasangan tersebut menaiki sebuah kereta ke Jerteh, Terengganu.

"Pasangan suami isteri itu dipaksa menaiki sebuah kereta yang turut dinaiki dua suspek, manakala dua suspek lagi mengekori mereka dengan sebuah kereta lain dan dibawa ke sebuah rumah di Jerteh, Terengganu.

"Ketika tiba di rumah tersebut, empat lagi rakan suspek menunggu mereka, masing-masing tiga lelaki tempatan dan seorang warga Myanmar. Salah seorang suspek meminta wang RM10,000 daripada mangsa untuk dilepaskan," katanya pada sidang akhbar di IPD Kota Bharu di sini hari ini.

Azham berkata, pada jam 2 petang (31 Januari), suami mangsa dibawa dua suspek ke Melor, di sini untuk mengambil wang terbabit, manakala isterinya masih lagi ditahan suspek yang lain.

"Apabila sampai di Taman Tengku Ahmad Rithauddeen, Melor, kedua-dua suspek menyuruh mangsa pergi mengambil wang berkenaan, bagaimanapun mangsa bertindak meminjam motosikal rakannya dan pergi ke Balai Polis Melor untuk meminta bantuan polis.

"Sehubungan itu satu pasukan ditubuhkan bagi mengesan dan menangkap suspek yang terbabit serta menyelamatkan mangsa. Ekoran itu seramai dua lelaki tempatan, dua perempuan tempatan, enam lelaki Myanmar dan seorang perempuan Myanmar berjaya ditangkap di Melor dan juga di Jerteh, Terengganu," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 18 hingga 62 tahun dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik, Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana cubaan peras ugut serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk ke negara ini tanpa permit yang sah.

Dalam kes lain, Azham berkata, pihaknya turut menubuhkan sebuah pasukan khas 'Ops Lejang' bagi membendung kegiatan mencuri motosikal yang berleluasa sejak awal tahun ini.

"Kita menangkap 16 lelaki berusia antara 15 dan 35 tahun pada akhir Januari lalu dan sehingga sekarang. Kesemua suspek positif dadah. Hasil tangkapan itu kita merampas lapan motosikal dan empat rangka motosikal pelbagai jenis serta pelbagai komponen motosikal.

"Dengan lumpuhnya kumpulan tersebut, kita berjaya menyelesaikan 30 kes kecurian motosikal yang berlaku di daerah ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment