My Add

Thursday 21 February 2013

Program MDAB berjaya selamatkan pelajar Melayu miskin

KOTA BHARU, KHAMIS, 21 Februari, 2013: Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diperkenalkan sejak tiga tahun lalu telah berjaya menyelamatkan begitu ramai pelajar Melayu miskin yang tercicir di negara ini menyambung pengajian mereka.

Sehingga kini lebih 16,000 pelajar yang memiliki pencapaian kurang memuaskan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah mengikuti program MDAB di UiTM seluruh negara.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, dari jumlah tersebut, seramai 87 peratus pelajar yang mengikuti program itu berjaya menyambung pengajian ke peringkat diploma.

Beliau berkata, program tersebut telah memberi peluang kedua kepada pelajar-pelajar ini untuk meyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, sekiranya peluang tersebut tidak diberikan kemungkinan besar pelajar-pelajar ini tidak lagi mempunyai harapan untuk meneruskan cita-cita mereka itu.

"Program ini menyelamatkan begitu ramai pelajar, hendak masuk UiTM bukan senang lebih 200,000 memohon setiap tahun hanya 30,000 mendapat tempat.

"Tapi bagi pelajar-pelajar yang tercicir ini kita sendiri akan pergi cari mereka. Kita akan menjelajah dari satu tempat ke satu tempat menawarkan program ini kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Pelepasan Skuad Jelajah Destini Anak Bangsa UiTM di UiTM kampus Kota Bharu di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment