My Add

Monday 25 February 2013

Rakyat jadi saksi transformasi - Najib

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL dan MOHAMMAD YASIR JAAFAR
SEREMBAN, AHAD, 24 Februari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat menjadi saksi kepada transformasi kerajaan serta menjadikan usaha itu sebagai bukti idea kreatif yang dilakukan Barisan Nasional (BN) telah memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

Kata Perdana Menteri, atas sebab itulah, beliau mengambil masa untuk mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana mahu memastikan setiap dasar transformasi itu benar-benar diyakini rakyat dan berjaya serta bersifat inklusif.

"Hari ini, saya percaya rakyat sudah cukup yakin. Sebab itu saya tunggu perkembangan ini sebelum mengumumkan tarikh pilihan raya umum," katanya dalam ucapan pelancaran Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Seremban Sentral di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini hari ini.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim serta Pengerusi PR1MA, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

Tambah Perdana Menteri, semua transformasi itu memerlukan idea dan setiap yang difikirkan mestilah berkesudahan dengan kebaikan kepada rakyat.

"Kita hanya boleh memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat, jika kita ada idea. Kemampuan untuk memimpin dan mentadbir negara, membuat dasar dan menentukan segala apa yang difikirkan itu hendaklah baik. Apa sahaja idea yang kreatif, kita akan lakukan.

"Kita perlu keunggulan dari segi pemikiran dan perancangan yang rapi. Pelaksanaannya juga hendaklah berkesan sehingga rakyat didahulukan dan benar-benar dapat dimanfaatkan daripada dasar transformasi negara ini," kata beliau.

Najib turut menyentuh pencapaian ekonomi negara yang memuncak kepada 6.4 peratus pada suku akhir tahun lalu, sekali gus meletakkan negara ini yang paling pesat kadar pertumbuhannya.

"Di Eropah, ekonominya membangun pada kadar satu peratus, ada yang 0.5 peratus. Malah ada juga yang merudum sehingga -3 dan -4 peratus. Di Amerika Syarikat, perkembangan ekonomi hanya satu hingga dua peratus dan kadar pengangguran melebihi tujuh peratus, malah ada bandarnya melebihi 10 peratus kadar pengangguran.

"Di rantau ini pula, kita lihat perkembangan ekonomi kita jauh lebih baik daripada negara jiran, Singapura hanya pada kadar 1.5 peratus. Apa yang dicapai negara ini adalah hasil usaha kerajaan BN," ujar Najib.

Kata Perdana Menteri lagi, dalam tempoh empat tahun ini sahaja, sebanyak 230 produk 1Malaysia telah disediakan untuk rakyat.

"PR1MA menyaksikan satu lagi produk menepati konsep rakyat didahulukan, juga mencerminkan Gagasan 1Malaysia kerana ia memberi peluang kepada semua rakyat di negara ini tidak kira kaum untuk memiliki rumah," ujar beliau.

Mengenai PR1MA Seremban Sentral, Najib memberitahu, usaha itu akan mengubah landskap bandar Seremban kepada lebih moden dengan sebanyak 5,000 rumah diwujudkan selain kompleks komersial dan pembangunan baharu Stesen Kereta Api Seremban.

"Projek ini akan dilaksanakan tahun ini dan dijangka siap pertengahan tahun 2016 dan harga rumah di PR1MA Seremban Sentral jauh lebih rendah dari harga pasaran," jelas Najib. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment