My Add

Monday 4 February 2013

RM8.5 juta untuk Skim Insentif Produktiviti Getah: Shafie Apdal

MARAN, ISNIN, 04 Februari, 2013: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan sebanyak RM8.5 juta kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bagi melaksanakan Skim Insentif Produktiviti Getah tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, skim itu hanya akan dilaksanakan bagi pokok getah matang yang akan memberi manfaat kepada lebih 400,000 keluarga pekebun kecil di seluruh negara.

"Melalui skim ini, Risda akan memberikan bantuan baja jenis R4 dan bahan rangsangan cecair untuk memastikan produktiviti kebun getah matang pekebun kecil dapat ditingkatkan kepada 1,750 kilogram bagi sehektar menjelang 2015 dan 2,000 kilogram sehektar menjelang tahun 2020," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Penggunaan Bahan Ransangan Lateks peringkat nasional di projek Tanam Semula Berkelompok Risda di Kampung Bukit Lada 2 di sini hari ini.

Katanya, baja dan bahan rangsangan cecair adalah bagi memastikan kebun getah terus dapat ditoreh serta diuruskan mengikut amalan pertanian yang baik.

"Penggunaan cecair rangsangan tersebut dapat meningkatkan hasil getah antara 15 sehingga 40 peratus di mana dengan harga getah sekarang, pekebun kecil getah kini boleh memperolehi pendapatan di antara RM1,500 hingga RM2,000 sehektar sebulan," katanya.

Selain itu, Mohd Shafie berkata, kerajaan memperuntukkan RM5 juta bagi Program Peningkatan Produktiviti Getah tahun ini yang membabitkan komponen bantuan berupa alat torehan seperti batu asah, mangkuk, dawai penyangkut, sudu dan alat pelindung hujan dengan kadar maksimum RM500 sehektar. 

Program terbabit, katanya bertujuan menggalakkan lebih ramai pekebun kecil membuka tapak torehan setelah pokok getah mencapai ukur lilit 45 sentimeter. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment