My Add

Sunday 17 February 2013

Terengganu berhasrat bina litar permotoran atasi lumba haram

KUALA TERENGGANU, AHAD, 17 Februari, 2013: Kerajaan Negeri Terengganu berhasrat membina sebuah litar perlumbaan motosikal bernilai kira-kira RM30 juta pada tahun depan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kos bagi pembinaan litar seluas 12.14 hektar itu akan dimasukkan dalam belanjawan negeri 2014.

Katanya, dengan wujudnya litar berkenaan ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kegiatan rempit serta dapat mengasah bakat baharu dalam sukan permotoran berkenaan.

"Kita masih mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk mewujudkan litar itu mungkin di sekitar Kuala Terengganu termasuk satu kawasan di Batu Rakit dan Lembah Bidong di Setiu.

"Kita turut menerima cadangan litar berkenaan dibina di Kuala Berang, Hulu Terengganu namun jaraknya yang agak jauh dari sini, kita merasakan lokasinya tidak sesuai,"katanya kepada pemberita selepas Majlis Santai Menteri Besar Bersama Skuad Sukarelawan Bermotor di Kediamannya,disini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat dan Presiden Pertubuhan Permotoran Bersatu (Riders United) Malaysia, Wazi Abdul Hamid.

Seramai 1,500 anggota Skuad Sukarelawan Bermotor termasuk Kelab Motor 69, 71 dan 99 menyertai program itu dan dimeriahkan dengan kehadiran ikon Riders United seperti Zizan Razak, Intan Ladyana dan Sari Yanti. 

Ahmad berkata, kompleks yang akan dibina mengikut spesifikasi litar bertaraf profesional itu membolehkan peminat sukan khususnya golongan muda membuktikan kebolehan mereka di lapangan sebenar.

Beliau berharap akan lahir anak Terengganu yang mampu pergi ke peringkat lebih tinggi dalam sukan permotoran kerana litar khas itu akan diselia tenaga pengajar profesional yang akan mengawal aktiviti di samping mengatur program untuk pengguna litar.

"Terengganu berjaya melahirkan pasukan lumba basikal profesional iaitu Terengganu Pro Cycling Team (TSG) dan tidak mustahil akan muncul ikon sukan permotoran di kalangan anak Terengganu," katanya.

Sementara itu, Presiden Rider United Wazi Abdul Hamid, berkata pihaknya akan menjelajah ke setiap daerah di Terengganu bagi mencari bakat baru yang boleh digilap menjadi jaguh sukan itu.

Beliau yang juga bekas pelumba motosikal negara berkata, persatuan itu juga komited untuk mendidik remaja supaya lebih berhemah di jalan raya dan mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment