My Add

Monday 11 February 2013

TPM tiba di Jakarta untuk lawatan kerja 2 hari

JAKARTA, ISNIN, 11 Februari, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini pada Isnin petang untuk lawatan kerja dua hari dalam rangka mengeratkan lagi hubungan kerjasama dua hala Malaysia-Indonesia.

Atur cara padat mengisi program lawatan beliau, termasuk pertemuan dengan Menteri Penyelaras Bidang Ekonomi Indonesia, Hatta Rajasa, yang dijadual berlangsung esok pagi.

Malam ini, beliau akan menghadiri Jamuan Malam Bersama Rakyat Malaysia di sini dan turut menyampaikan bantuan kewangan kepada sejumlah pelajar Malaysia dari Jakarta dan Makassar, yang kediaman mereka dilanda banjir baru-baru ini.

Muhyiddin juga dijadual merasmikan Dewan Malaysia Jakarta, di Jalan Hos Cokroaminoto, Jakarta Pusat serta berucap di forum meja bulat Gerakan Kesederhanaan Global di sini esok.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Hassan berkata, lawatan Muhyiddin kali ini mempunyai signifikan dalam konteks hubungan di peringkat kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

Pembukaan Dewan Malaysia Jakarta di ibu negara Indonesia ini, merupakan satu lagi mercu tanda hubungan erat antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Indonesia, yang sekali gus mempamerkan bagaimana Indonesia mengalu-alukan kehadiran Malaysia di negara ini, katanya dalam sidang akhbar di sini, Ahad.

Forum meja bulat Gerakan Kesederhanaan Global pula menghimpunkan sejumlah intelek dan cendekiawan Islam dari Malaysia dan Indonesia untuk membincangkan perkembangan dunia akademik dan Islam.

Timbalan Perdana Menteri diiringi isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam lawatan ini.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment