My Add

Friday 1 February 2013

Yayasan Pondok 1Malaysia hargai pendekatan Najib


*NAJIB Razak (tiga dari kanan) membaca resolusi yang disampaikan oleh pengasas Yayasan Pondok 1 Malaysia Negeri Kedah yang diketuai oleh Ashiq Elahi Mat Desa (dua dari kanan), selepas mengadakan perjumpaan tertutup bersama Kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Kedah di Bangunan Tunku. - Foto Lim Poh Chin

ALOR SETAR, KHAMIS, 31 Januari, 2013:: Yayasan Pondok 1Malaysia cawangan Kedah melahirkan penghargaan terhadap pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam memartabatkan institusi pondok.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penajanya, Ahiq Elahi Mat Desa berkata, kesudian Perdana Menteri berjumpa dan berbincang dengan guru pondok juga mencerminkan keprihatinan beliau terhadap kebajikan guru dan warga pondok keseluruhannya.

"Dalam hal ini yayasan memuji pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengangkat dan memartabatkan institusi pondok di Malaysia," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan resolusi Yayasan Pondok 1Malaysia cawangan Kedah kepada Najib di sini, hari ini yang dalam rangka lawatan sehari ke Kedah.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kedah, Datuk Mohd Johari Baharom dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.

Lapan mudir mewakili lapan pondok pengajian di Kedah diketuai pengerusi jawatankuasa penaja Yayasan Pondok 1Malaysia cawangan Kedah, Sobri Othman turut menikmati jamuan makan tengah hari bersama Perdana Menteri.

Resolusi itu antara lain meminta kerajaan mengiktiraf dan mendaulatkan sistem pengajian pondok, mengiktiraf sijilnya setaraf dengan pusat pengajian yang diiktiraf dan untuk menzahir komitmen guru pondok seluruh negara bagi memelihara akidah umat Islam berteraskan Sunnah Wal-Jamaah dan hal agama tidak dipermainkan oleh mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Ahiq Elahi berkata, yayasan turut menyatakan komitmen kepada Perdana Menteri untuk membantu kerajaan memartabatkan Islam tanpa bermotifkan politik.

Katanya, yayasan juga akan menganjur siri ceramah ke seluruh negara bagi menjelaskan isu berkaitan agama termasuk penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu, berlandaskan kitab muktabar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment