My Add

Wednesday 27 March 2013

1,261 pemaju disenarai hitam tidak dibenar sertai projek bermula 2015

KUANTAN, SELASA, 26 Mac, 2013: Sebanyak 1,261 pemaju perumahan yang telah disenarai hitam oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak dibenarkan menyertai sebarang projek pembinaan perumahan bermula 2015.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, bermula 2015, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang baharu iaitu 'bina dulu baru jual' bagi mengelak pembeli rumah menjadi mangsa projek perumahan terbengkalai.

"Pemaju perumahan yang telah dikenal pasti beserta 4,150 individu atau ahli lembaga pengarah syarikat yang terlibat tidak akan diberi peluang untuk mendapatkan projek perumahan.

"Ini antara usaha kerajaan dalam memastikan orang ramai tidak lagi menjadi mangsa projek terbengkalai akibat pemaju yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Sijil menduduki Projek Perumahan Taman Desa Mesra di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengangkutan dan Kemudahan Asas, Datuk Soffi Abdul Razak.

Mengulas lanjut, Chor berkata, jika pemaju yang telah disenarai hitam mahu terlibat semula dalam sebarang projek perumahan mereka perlu menyiapkan projek yang terbengkalai dan membersihkan rekod syarikat mereka semula.

Dalam pada itu katanya, kerajaan kini sedang giat bekerjasama dengan pihak bank dan institusi kewangan bagi memastikan undang-undang 'bina dulu baru jual, dapat dilaksanakan pada 2015.

"Ini kerana dengan pelaksanaan undang-undang ini, pemaju perlu menanggung 90 peratus kos pembinaan rumah kerana pembeli hanya perlu membayar 10 peratus daripada harga rumah dan selebihnya dibayar setelah rumah tersebut disiapkan oleh pemaju," katanya.

Chor berkata, kerajaan juga dalam usaha membantu penduduk di kawasan bandar yang berpendapatan rendah memiliki rumah, akan melaksanakan 45 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara mulai tahun depan.

"Di negeri Pahang kerajaan akan membina lima projek PPR iaitu di Pulau Tioman, Benta (Raub), Jerantut, Penor (Pekan) dan Sungai Ular (Kuantan)," katanya.

Projek Perumahan Taman Desa Mesra sebelum ini terbengkalai selama 25 tahun sehingga diselamatkan oleh kerajaan dengan kos RM11.8 juta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment