My Add

Wednesday, 27 March 2013

Shafie mahu Semporna dimasuk ke dalam Esscom

OLeh HASHNAN ABDULLAH
PUTRAJAYA, SELASA, 26 Mac, 2013: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan membangkitkan persoalan kenapa daerah Semporna tidak dimasukkan ke dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) pada mesyuarat Kabinet esok.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, daerah tersebut merupakan antara kawasan di pantai timur Sabah yang sering menjadi tumpuan utama kegiatan lanun sejak tahun 1963 lagi.

"Penting kerana jika anda sedar sejak tahun 1963, inilah kawasan yang sering jadi tumpuan kegiatan lanun, manakala tempat lain jarang kita dengar berita tentang kegiatan itu.

"Saya ingat Esscom merangkumi kawasan saya seperti Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) tetapi tidak dan saya akan bangkitkan dalam mesyuarat Kabinet esok," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku Garis Panduan Kewangan dan Perakaunan Syarikat Milik Agensi bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKLW, Datuk Nursiah Arshad.

Pembentukan Esscom diumumkan secara dasar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lalu merangkumi kawasan pantai timur Sabah termasuk Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment